Suami isteri didakwa abai rawatan anak sehingga mati - Utusan Malaysia

Suami isteri didakwa abai rawatan anak sehingga mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Sepasang suami isteri tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun baru-baru ini.

Menurut kertas pertuduhan yang dibacakan secara bersama, Mohammad Zawawi Mohammad Jasni, 30, dan isterinya, Azreen Junysar, 29, dituduh mengabaikan anak mereka, Muhammad Lufthakim Abdullah, 10, daripada mendapatkan rawatan perubatan serta pemeliharaan mencukupi sehingga menyebabkan kecederaan fizikal yang membawa kepada kematian kanak-kanak itu.

Pertuduhan tersebut dibacakan mengikut Seksyen 3 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pasangan tersebut didakwa berhubung kes kematian Muhammad Lufthakim di rumah mereka dekat Permatang Badak di sini pada 9 Julai lalu yang disyaki akibat didera selepas pihak hospital menemui beberapa kesan lebam pada tubuh jenazah kanak-kanak itu seperti pernah dilaporkan Kosmo! baru-baru ini.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bercagar bagi setiap tertuduh sebelum pasangan tersebut mengemukakan rayuan pengurangan.

Menerusi rayuannya, Mohd. Zawawi memohon mahkamah menetapkan nilai jaminan lebih rendah kerana dia yang bekerja sebagai jurujual kereta hanya berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan dan perlu menanggung seorang lagi anak berusia lapan tahun.

Sementara itu, Azreen turut merayu diberi diskaun nilai jaminan kerana hanya berpendapatan RM1,200 sebulan yang diperoleh daripada mengambil upah mengasuh kanak-kanak di rumahnya.

Sejurus mendengar rayuan, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bercagar bagi setiap tertuduh dan menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN