PULAU PINANG 22 Julai – Kerajaan negeri ‘menuntut’ pinjaman mudah sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan rancangan pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dan jaringan lebuh raya baharu di negeri ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.
![]() |
|
CHOW KON YEOW
|
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya pinjaman berkenaan diberikan kelak, pihaknya akan ‘terlepas’ beban kewangan terutamanya membabitkan kos tanah yang sangat tinggi.
Ujar beliau, kerajaan negeri juga tidak akan terdesak untuk menjual tanah yang ditebus guna dan ia boleh disimpan supaya nilainya meningkat pada masa akan datang sekaligus memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri.
“Jumlah berkenaan (RM1bilion) dapat menampung fasa permulaan kedua-dua projek berkenaan namun pada peringkat ini, apa yang lebih penting kita perlu mendapatkan kelulusan laksana projek daripada beberapa agensi Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini, di sini hari ini.
Projek LRT berkenaan merupakan sebahagian daripada pakej projek PIP negeri yang akan menghubungkan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas dengan anggaran perbelanjaan antara RM6 bilion hingga RM8 bilion membabitkan beberapa pakej projek lain.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri baru-baru ini telah menghantar nota peringatan kepada agensi Kerajaan Persekutuan untuk meneliti permohonan mereka melaksanakan projek-projek berkenaan.
“Walaupun kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat kini ‘sama’, namun ia bukan jaminan untuk permohonan diluluskan serta-merta, kita tidak mahu guna jalan belakang,” ujarnya.
Berhubung bantahan terhadap projek tambak laut yang akan dianjurkan di Teluk Kumbar oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan nelayan, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri yakin ia tidak akan menjejaskan pendapatan nelayan.
Ujarnya, ini kerana kawasan laut yang akan ditambak terletak pada kedudukan antara 250 meter hingga 300 meter dari kawasan pantai.
“Negeri ini mempunyai masalah kekangan tanah yang kritikal di kawasan strategik. Oleh itu, bagi melaksanakan PIP, amat penting untuk kita tambak laut,” katanya.











