KUALA PILAH – Seorang pemandu kereta maut manakala isterinya cedera parah selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 17 Jalan Kuala Pilah-Tampin di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Lee Tiang Hock, 55, dari Taman Bukit Katil Damai 2, Melaka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.
Isterinya, Annie Keong It Pin, 52, pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, nahas di lokasi tersebut membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan bas henti-henti jenis Hino.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Pilah menuju ke Tampin dipercayai hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh lalu melanggar bas dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera teruk pada kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat Tiang Hock dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk dibedah siasat sementara isterinya kini dirawat di zon merah hospital sama.
Tambahnya, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










