KUALA LUMPUR 23 Julai- Selebriti popular dunia, Paris Hilton menafikan dia menjalani pembedahan plastik bagi kekal cantik di usia 37 tahun.

Sebaliknya jelas penyanyi tersebut, dia sentiasa menjaga kesihatan kulitnya dengan menggunakan produk terbaik dan sesuai supaya ia kekal anjal serta cantik di usia sebegitu.
“Saya tidak pernah melakukan botox atau pembedahan plastik seumur hidup. Saya cuma menggunakan produk yang diyakini dapat menganjalkan dan menjaga kesihatan kulit,” katanya dalam temu bual bersama majalah People baru-baru ini.
Dalam pada itu, kecintaan Hilton terhadap kecantikan menyebabkan selebriti jutawan ini berhasrat mengeluarkan produk sendiri, Paris Hilton Skincare.
“Saya mencuba produk ini selama dua tahun sebelum dijual kepada umum. Semua itu demi memastikan pengguna dapat merasai perubahan dengan menggunakannya.
“Paris Hilton Skincare ini memberi fokus kepada perawatan kulit khususnya mengurangkan kedut dan serta garis-garis halus di wajah,” katanya yang sebelum ini mengeluarkan 15 produk wangian yang popular. – UTUSAN ONLINE










