KUALA TERENGGANU 8 Julai – Terengganu akan menjadi tuan rumah Muktamar Pas Pusat yang dijadual berlangsung pada 14, 15 dan 16 September depan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Hotel Permai Inn di sini hari ini yang dipengerusikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mesyuarat itu dihadiri kepemimpinan tertinggi Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin; Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Zawawi Nik Salleh; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan veteran Pas, Datuk Mustafa Ali.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Muktamar Pas Pusat akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak diikuti Dewan Pemuda Pas di Stadium Negeri, Dewan Muslimah di Taman Tamadun Islam (TTI) manakala Majlis Syura Ulama di Hotel Permai di sini.
Menurutnya, sempena muktamar itu juga, satu konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DPP) yang disertai penyokong kalangan bukan Islam akan dilangsungkan namun lokasinya buat masa ini masih belum diputuskan.
“Perasmiannya nanti (Muktamar Pas) akan disempurnakan oleh Presiden Pas disusuli dengan ucapan dasar beliau (Abdul Hadi) dan kita akan jemput semua parti politik sama ada pembangkang termasuk UMNO,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat dan Pas Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini yang dihadiri lebih 5,000 orang dari segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, majlis sambutan Hari Raya anjuran Pas Pusat dan Pas Negeri Terengganu itu buat julung kali diadakan serentak antara lain berikutan kejayaan Pas kembali memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).- UTUSAN ONLINE










