Love Scam: Pembantu makmal rugi RM131,630 - Utusan Malaysia

Love Scam: Pembantu makmal rugi RM131,630

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 23 Julai – Seorang pembantu makmal di Maran dekat ini berputih mata apabila kerugian sebanyak RM131,630 ditipu sindiket Love Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada Januari lalu, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial Facebook bernama Mohammed Luqman yang memperkenalkan diri sebagai warganegara Arab dan tinggal serta merupakan pengusaha tekstil di United Kingdom.

Dalam perkenalan tersebut, katanya, suspek memaklumkan hendak menghantar pakej barang kepada suspek iaitu dua bentuk cincin, sepasang kasut, seutas jam tangan, Ipad, komputer riba jenama Apple, tiga beg tangan, bunga ros dan sampul surat yang tidak diketahui kandungannya melalui Ampthill Courier.

“Pada Februari lalu, mangsa diarahkan oleh lelaki tersebut untuk membuat pembayaran kepada pihak Ampthill Courier untuk caj ke atas pakej tersebut berjumlah RM1,450 kerana barang tersebut telah sampai di Sarawak.

“Pengadu dihubungi oleh seorang perempuan daripada Ampthill Courier untuk membayar caj pakej tersebut. Pada 13 Februari lalu, suspek memasukkan wang berjumlah RM1,450 ke akaun CIMB Bank bernombor 7068518524 atas nama Norhayati Mat Saathi di CIMB Bank Maran,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, sejak Mac sehingga Jun lalu, suspek diarahkan membuat beberapa lagi transaksi melalui deposit tunai ke dalam beberapa akaun berlainan dengan alasan kos keselamatan penghantaran barangan tersebut.

Katanya, kesemua transaksi deposit tunai tersebut dibuat di CIMB Bank Maran.

“Jumlah anggaran kesemua transaksi yang dibuat sehingga hari terakhir transaksi dibuat iaitu 7 Jun lalu ialah RM131,630.00. Berasa ditipu, suspek membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN