FAM perlu tegas - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

FAM perlu tegas – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Belia dan Sukan menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak tegas terhadap pasukan yang enggan melepaskan pemain yang dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan menjelang temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia bulan depan.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kemelut itu sentiasa berulang sejak beberapa tahun lepas susulan ketua jurulatih negara gagal mengumpulkan pemain terbaik dalam kejohanan-kejohanan utama bola sepak termasuk Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Sekiranya FAM memilih untuk menyertai sebarang kejohanan bola sepak antarabangsa, mereka perlu mengambil pendirian tegas. Sebarang keputusan FAM di peringkat pusat perlu sama dengan persatuan bola sepak negeri sebagai ahli gabungan dan perlu sewajarnya dihormati.

“Jika persefahaman itu tidak berlaku, FAM sepatutnya menyatakan hasrat lebih awal agar ia tidak menjejaskan ranking pasukan negara yang sudah merudum jauh ketika ini.

“Apa yang pasti, barisan pemain perlu menerima panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan kerana ia adalah penghormatan tertinggi untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Sekiranya ia masih belum dapat diselesaikan, saya akan berjumpa dengan semua pihak termasuk ketua jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee mengakui tidak bermaksud untuk melihat pasukan kendaliannya menarik diri daripada temasya sukan terbesar Asia itu.

Kosmo! semalam melaporkan, skuad muda Harimau Malaya itu berpotensi untuk menarik diri sekiranya Kim Swee gagal me­ngumpulkan minimum 18 pemain ke temasya sukan terbesar Asia itu.

“Tarik diri daripada Sukan Asia 2018 tidak pernah wujud dalam pemikiran saya. Apa yang saya cuba katakan sebelum ini adalah kesan buruk sekiranya saya gagal membawa 18 pemain secara minimum ke Sukan Asia 2018.

“Berdasarkan peraturan, kita tidak boleh bermain jika gagal membawa kurang daripada 18 pemain yang mana kita terpaksa tarik diri seandainya kita berdepan situasi itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Kim Swee telah menyenaraikan 24 pemain yang dijadualkan berkumpul dalam kem latihan pusat yang akan bermula pada 30 Julai ini.

Difahamkan, beberapa pasukan yang bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) enggan melepaskan pemain-pemain mereka memandangkan konflik jadual Sukan Asia 2018 yang bertembung dengan kejohanan bola sepak berprestij negara, Piala Malaysia bulan depan.

Acara bola sepak Sukan Asia yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang dijadualkan bermula pada 14 Ogos hingga 1 September depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN