Dera anak: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Dera anak: Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 23 Julai – Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Muhammad Luthhakim Abdullah, 10 sehingga menyebabkan kematiannya pada 9 Julai lalu.

Pengakuan itu dibuat Mohammad Zawani Mohammad Jasni, 30, dan isterinya, Azreen Junysar, 29, dalam pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan berkenaan dituduh mengabaikan anak mereka daripada mendapat rawatan perubatan dan pemeliharaan mencukupi sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal yang membawa kepada kematian kanak-kanak itu.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Aminah menetapkan ikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan 27 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN