LONDON 23 Julai – Rentetan daripada prestasi buruk Loris Karius terutama dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, pengendali Liverpool Jurgen Klopp menjadikan Alisson sebagai penjaga gol No. 1 dalam usaha memantapkan lagi pasukannya.
Karius menjadi mangsa utama dalam kekalahan mereka ke atas Real Madrid apabila melepaskan bola mudah untuk Karim Benzema, sebelum membenarkan usaha jarak jauh Gareth Bale.
Selepas aksi berkenaan, Hospital Umum Massachusetts melaporkan Karius mengalami kecederaan kepala setelah dikatakan berlanggar dengan pertahanan Real, Sergio Ramos.
Dengan membawa masuk Alisson, yang juga penjaga gol termahal dengan nilai 65 juta pound (RM346.37 juta) Klopp mengesahkan pemain kebangsaan Brazil itu kini merupakan penjaga gol utama skuad Reds.
Bagaimanapun Klopp memberitahu, Karius masih mempunyai peluang untuk membuktikan kehebatannya di Anfield.
“Kami membawa masuk Alisson dan sudah pasti dia akan menjadi penjaga gol pertama kami. Kalau tidak mengapa kami membayarnya dengan harga tinggi?
“Bagi Loris Karius, perpindahan itu bukanlah satu noktah baginya. Apabila menandatangani pemain Brazil ini, dia mempunyai enam minggu bagi membuktikan kemampuannya.
“Bermakna, kami mempunyai perlawana yang cukup, di mana semua pemain boleh beraksi. Dia masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi. Dia adalah penjaga gol hebat dan masih memiliki peluang untuk mempamerkan kehebatannya untuk masa akan datang,” jelas Klopp.
Karius menyertai Liverpool dari Mainz pada 2016, dengan kontrak lima tahun dan membuat 19 penampilan pada musim 2017-18.
Sementara itu Klopp turut mengesahkan Alisson bakal menyertai skuad Liverpool di kem latihan Evian.
“Shaqiri akan datang ke New Jersey dalam masa dua hari lagi dan Alisson akan bersama Roberto (Firmino) dalam satu lagi kem di Evian.
“Bagi saya adalah bagus kerana dapat mengumpulkan mereka, kecuali pemain yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia,” ujar Klopp.- AGENSI











