MONTREAL – Pelumba Red Bull, Max Verstappen berjaya menutup mulut pengkritik selepas memulakan aksi yang cukup sempurna apabila muncul sebagai pelumba terpantas pada sesi latihan bebas di Grand Prix (GP) Kanada kelmarin.
Selepas muncul sebagai pelumba terpantas pada sesi sebelah pagi, pelumba berusia 20 tahun itu sekali lagi melakukan kejutan di Litar Gilles Villeneuve selepas sekali lagi mengungguli sesi kedua.
Ini kali pertama, pelumba Belanda tersebut muncul sebagai pelumba terpantas tahun ini. Minggu lalu, Verstappen dikritik hebat selepas gagal meraih keputusan yang membanggakan selepas dua kali gagal menamatkan perlumbaan dalam enam pusingan setakat ini.
Pada sesi tersebut, Verstappen merekodkan catatan 1 minit 13.302 saat (s) dan meninggalkan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dengan perbezaan 0.088s (1m 13.390s) serta diikuti Daniel Ricciardo tempat ketiga (1m 13.518s).
“Ini adalah rekod terbaik saya setakat ini tetapi Mercedes sangat laju pada sesi latihan ini. Saya percaya pasukan sedar akan kemampuan Mercedes dan kami perlu pertingkatkan keupayaan jentera.
“Secara keseluruhan saya sangat berpuas hati tetapi saingan hanya baru bermula dan kami perlu fokus pada sesi kelayakan nanti kerana ia adalah situasi yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, Ricciardo yang menjuarai saingan GP Monaco baru-baru ini mengakui sukar untuk muncul juara di Kanada memandangkan Mercedes mempamerkan peningkatan mendadak terutama di laluan lurus.
“Saya mempunyai masalah pada sistem unit kuasa yang sedikit menjejaskan rentak saingan hari ini (kelmarin). Saya akui jentera tidak berapa baik tetapi kami bermula dengan catatan yang positif.
“Verstappen muncul sebagai pelumba terpantas tetapi saya yakin Mercedes akan lebih laju esok (hari ini),” ujarnya. – Agensi










