SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri dalam mesyuarat mingguan baru-baru ini ada mengumumkan untuk mengadakan ujian kelayakan bahasa Inggeris terhadap pegawai tinggi kerajaan kerana ingin memastikan mereka fasih bahasa Inggeris.
Cadangan dikemukakan ini bagi memastikan pegawai tinggi kerajaan dapat menguasai bahasa Inggeris yang juga merupakan bahasa lingua franca atau bahasa rasmi peringkat antarabangsa pada masa kini.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga harus memastikan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dalam negara kita terutama dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri-menteri Kabinet.
Peruntukan bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas di bawah Fasal (1) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu ‘Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen’.
Perkara ini jelas memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Amat memalukan sekiranya terdapat rakyat masih gagal menguasai bahasa Melayu. Lebih memalukan sekiranya terdapat mana-mana pegawai tertinggi kerajaan gagal menguasai bahasa Melayu.
Oleh itu, amat wajar sekiranya Perdana Menteri dapat mempertimbangkan cadangan supaya ujian kelayakan bahasa Inggeris yang ingin dilakukan dapat juga dilaksanakan untuk bahasa Melayu bagi terus melindungi kedudukan bahasa Melayu dalam negara kita.
PENSYARAH KANAN










