Berada pada ketinggian tingkat 35, Mandarin Oriental di Columbus Circle, New York, Amerika Syarikat (AS), kota dengan kepadatan sekitar 19 juta penduduk tersebut kelihatan seperti jajaran puncak pencakar langit yang seperti tidak akan membiarkan seinci tanah buminya ditakluk makhluk asing seperti dalam filem-filem Hollywood.
Belantara batu dengan variasi seni arkitek, ada yang berbumbung tajam dan tirus, ada juga yang sarat pengaruh gothik tersebut juga terlalu teguh untuk ditebak.
Jalan-jalan raya dengan deretan teksi kuning lebih dikenali sebagai Yellow Cab dan gerombolan manusia seperti semut lengkap berbaju panas, berkot atau berjaket labuh antara yang asyik diperhatikan penulis tentang kota yang pernah digelar sebagai Big Apple tersebut.
Itu pandangan biasa buat penghuni mahupun pelawat yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke perut kota metropolitan antara tersibuk di dunia tersebut. Visual realiti itulah juga antara yang dapat dikesan dalam banyak adegan Succession, sebuah drama bersiri terbaharu siaran HBO; satu alasan kukuh yang menerbangkan penulis ke New York bagi menyertai sesi meja bulat bersama penerbit dan pelakon drama bersiri 10 episod berkenaan.
Mula ditayangkan sejak Isnin, 4 Jun lalu pukul 10 malam serentak tayangan perdana di AS, pukul 10 pagi di saluran HBO (411) dan HBO HD (431), Succession mengetengahkan konflik, kekotoran dan api licik yang membakar keluarga konglomerat media dan hiburan dunia dikepalai Logan Roy bersama empat orang anaknya sebagai pewaris legasi Waystar Royco.
Episod baharu setiap minggu pula akan disiarkan setiap Isnin pukul 10 malam dan ulangan pada pada 11 malam menerusi saluran sama.
Barangkali mengambil inspirasi daripada mogul media dan hiburan terkenal antarabangsa, Rupert Murdoch dan Summer Redstone, Jeese Amstrong sebagai pembikinnya menghasilkan Succession tidak sekadar cerminan sistem pengurusan sebuah firma media berpengaruh dunia tetapi satira kehidupan sebuah keluarga yang tersangat kaya tetapi penuh kepincangan.
“Dalam sejarah apa pun, saat kegemilangan merupakan titik konflik. Sama ada semasa Empayar Rom atau Babylon, momen sukses adalah sukar dan ia berlaku dalam sejarah politik mahupun nasional.
“Apabila seorang raja atau pemerintah mahu meninggalkan takhta, dia harus menemukan pengganti untuk mengekalkan apa yang dicapai, selama mungkin,” jelas Amstrong.
Ketika usia telah lanjut dan uzur, Roy lakonan Brian Cox harus memperoleh keyakinan terhadap anak-anak, khususnya Kendall Roy (Jerenmy Strong) yang pada masa sama bertindak sebagai presiden salah sebuah jabatan, sekali gus pewaris harapannya.
Seperti kata Penerbit Eksekutifnya, Adam McKay, Succession pada akarnya, adalah kisah keluarga. Ada sisi tragisnya, penonton akan melihat bagaimana kekayaan dan kekuasaan akan menghilangkan nilai dan melukai keluarga Roy. Suasana tegang dan licik akan dapat dirasai dalam setiap dialog dan bahasa tubuh pembawa karakter watak.
Ditanya, adakah keluarga Roy boleh dianggap sebagai sekumpulan mafia yang saling bersaing sesama sendiri, Amstrong ketawa sambil menjawab:
“Saya tidak tahu sistem mafia tetapi keluarga Roy ini tidak saling berbunuhan. Drama ini tentang keluarga, bisnes, cinta dan konflik mereka.”
Pewaris legasi
Isu biasa dalam setiap keluarga yang sukses, mereka akan memberikan yang terbaik dan memastikan anak-anak hidup gembira. Namun pada akhirnya, apa akan jadi apa apabila anak-anak billionare tersebut dewasa kelak? Apakah mereka yang mereka warisi, kekayaan semata-mata atau semangat kekeluargaan yang tidak boleh dibandingkan dengan harta?
“Semuanya tentang kemewahan, namun cita-cita kami dalam drama ini adalah mahu membuatkan seorang ayah (Logan Roy) berasa bangga terhadap anak-anak termasuklah watak saya (Connor), dia tahu dia bukan sesiapa di mata ayahnya,” jelas Alan Ruck tentang wataknya.
Sebagai anak pertama daripada tiga perkahwinan Roy, Connor sangat sayangkan bapa dan adik-adiknya. Biarpun dilayan dengan teruk, dia mahu berada dalam keluarga itu.
Salah satu watak atau ahli keluarga Roy yang paling tidak boleh diharap ialah Roman (Kieran Culkin). Biarpun seorang yang kelihatan berkarisma, penyayang, ceria dan punya daya tarikan, Roman sebenarnya terlalu jauh daripada liga pentadbir sebuah firma konglomerat.
Menjawab bagi pihak Culkin, Connor menterjemahkan Roman sebagai produk yang sebenarnya dirosakkan kepincangan hubungan dengan bapanya. Dia sememangnya bukan pewaris bisnes keluarga.
“Dia (Roman) boleh melakukan atau meluahkan apa sahaja yang dimahukan. Jika ada yang tersinggung atau terasa hati dengan apa yang Roman katakan, orang itu yang salah, dia tidak.
“Ia sebenarnya menyeronokkan kerana menjadi watak yang bergerak ke arah yang bertentangan dengan watak-watak lain,” celah Culkin selamba sama seperti pembawaan wataknya dalam beberapa episod terawal Succession.
Antara kuasa dan cinta
Satu-satunya watak yang boleh diharapkan meneruskan dinasti Roy di Waystar Royco ialah Kendall (Jeremy Strong), namun kecelaruan ideologi bersama Roy membuatkan hidup Kendall berdepan kesukaran. Cuba membawa perubahan seiring peralihan dunia media yang didominasi arus digital, pembaharuan Kendall sangat tidak dipersetujui oleh Roy, seorang pengikut aliran konvensional.
“Bahasa dan mata wang dalam keluarga ini bukan cinta, sebaliknya tentang bisnes. Kendall memiliki semua harta, kuasa, pengaruh dan kepercayaan tetapi dia sebenarnya kesepian dan tiada cinta. Dia mahukan perhatian seorang ayah tetapi perkara itu yang tidak hadir,” jelas Strong dengan emosi yang seolah-olah masih bersenandung dengan survival watak Kendall.
Ditanya tentang kritik sosial atau impak Succession terhadap dirinya, pelakon berusia 39 tahun yang pernah muncul dalam Zero Dark Thirty, Lincoln, Parkland, Selma, Black Mass dan The Big Short itu mengakui, gejala anak-anak tidak mencapai tahap dikehendaki atau gagal menjadi harapan keluarga dek lahir dalam kemewahan memang berlaku depan matanya.
“Saya ada kawan yang datang daripada keluarga jutawan tetapi hidupnya rosak. Secara peribadinya, saya mempunyai petunjuk yang betul dalam hal sebegini,” jelas Strong yang menyedari keluarga masa kini mendepani cabaran lebih besar dalam soal karier dan keluarga sempurna.
Bercerita lagi tentang wataknya, Strong melihat Kendall sebagai sesuatu yang boleh dijadikan panduan.
“Tiada orang hidup tanpa kesukaran. Secara kasarnya, saya melihat Kendall seorang mahukan kuasa tetapi sebenarnya dia perlukan cinta. Dalam hidup, saya telah melalui banyak fasa. Sejujurnya saya tidak tahu tentang masa depan tetapi saya baru sahaja mendapat seorang anak beberapa minggu lalu. Untuknya, saya cuma mahukan dia membesar, dewasa dan gembira menjadi siapa dirinya,” jelas Strong.
Tambah Strong juga: “Saya fikir drama ini tentang legasi, bagaimana kami respons terhadap legasi. Pembikinnya sengaja meletakkan kepincangan dan drama keluarga sebagai konteks pengisian. Karakter Kendall telah dibentuk oleh bapanya. Pendekatan mereka berbeza, tetapi dia cuba sedaya upaya menjadi lelaki seperti dimahukan oleh bapanya.
“Saya fikir itulah kesakitan yang dilalui Kendall kerana dia sangat mahukan kepercayaan bapanya untuk menerajui Waystar mengikut caranya. Dia sangat bercita-cita dan melihat dirinya sebagai penyambung legasi Roy.”
Succession tentunya tentang Logan Roy. Pada episod pertama, lelaki tua tersebut cuba meredakan ketegangan pada sambutan hari kelahirannya dengan mengajak seluruh ahli keluarganya ke sebuah lokasi privasi dengan menaiki helikopter untuk bermain bola lisut.
Bukan permainan yang menjadi fokus tetapi tentang hal ehwal bisnes, manakala menerusi episod kedua pula, Roy diserang angin ahmar. Dia tidak sedarkan diri dan sangat lemah ketika syarikat benar-benar memerlukan seorang presiden.
“Kata kunci tentang drama ini adalah kemanusiaan. Ia sebuah fiksyen tentang legasi yang ingin dipertahankan oleh seorang pengasas konglomerat media. Biarpun ada yang mengatakan ia begitu dekat dengan Rupert Murdoch tetapi bagi saya, ia tidak. Murdoch mewarisi pencapaian daripada bapanya, sebaliknya Logan Roy adalah pengasas konglomerat media dalam Succession.
“Saya lebih melihat Succession sebagai sangat selari dengan King Lear (naskhah William Shakespeare). Lear dan Logan Roy ada persamaan. Apa yang saya sukai tentang Roy ialah dia agak misteri. Kami hanya menjadi sebahagian daripada sesiapa sahaja ahli perniagaan yang kejam,” jelas aktor berusia 71 tahun itu berjenaka.
Menghakimi karakter
Melakonkan watak isteri daripada perkahwinan ketiga Roy, aktres yang juga pengarah berasal dari Israel, Hiam Abbass, 57, pula menyifatkan karakter Marcia lakonannya punya nilai dinamik yang turut menguatkan drama berkenaan.
Dalam episod pertama dan kedua, Marcia dan Roy dipaparkan sebagai pasangan yang saling melengkapi, penuh cinta dan memahami antara satu sama lain. Namun menjelang episod ketiga, warna karakter Marcia semakin bercambah.
“Nilai dinamik itu datang daripada siapa Marcia sebenarnya. Itu antara kekuatan drama itu yang dapat saya rasakan. Pasangan itu (Marcia dan Logan Roy) ada asas hubungan yang baik,” jawab Hiam.
Tentang wataknya, aktres filem Munich itu tidak pernah mempersoalkan sejauh mana dia menyukai atau membenci setiap karakter lakonan. Tugasnya adalah melunaskan kehendak naskhah, suka atau tidak, dia membiarkan soal itu sehinggalah segalanya selesai walaupun watak lakonannya dibenci penonton.











