KUALA LUMPUR – Polis menahan enam lelaki warga tempatan yang dipercayai pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kampung Setia Jaya, Wangsa Maju di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 3.40 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Wangsa Maju telah menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Jalan Jaya 2, Kampung Setia Jaya di sini dan merampas satu peket dadah Methamphetamine seberat 0.37 gram.
“Berdasarkan maklumat daripada suspek itu, polis telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Jaya 4, Kampung Setia Jaya di sini dan menahan lima lelaki serta merampas beberapa peket dadah pelbagai jenis.
“Dalam serbuan kedua itu, polis telah merampas sembilan peket dadah berisi heroin seberat 20.5 gram (g) dan satu peket dadah metamphetamine seberat 36.2g. Kesemua suspek di dalam rumah tersebut berusia antara 31 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Roy Suhaimi menambah, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,400 dan turut merampas satu beg, alat timbang digital, gunting, tiub straw dan sejumlah wang bernilai RM73.
“Hasil saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis morfin.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – K! ONLINE







