PUTRAJAYA – Pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemukan meninggal dunia di dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan Taman Selayang Baru, Gombak Ahad lalu tidak dilindungi skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran memberitahu, pihaknya mendapati syarikat mangsa berkenaan tidak melakukan caruman di bawah Perkeso.
“Saya simpati dengan keluarga mangsa, adalah satu mendukacitakan bagi keluarga mangsa kerana tidak mendapat sebarang faedah di bawah skim Perkeso walaupun meninggal dunia sewaktu bekerja.
“Malah, semakan kami mendapati sehingga April lalu, hanya kira-kira 4,231 pemandu teksi termasuk e-hailing daripada keseluruhan 90,000 orang yang mencarum Perkeso,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Malaysia Commuting Accident dan Road Safety Seminar di sini hari ini.
Kulasegaran berkata, undang-undang negara mewajibkan setiap majikan membuat caruman Perkeso bagi menjamin kebajikan setiap para pekerja. – K! ONLINE











