KUANTAN – Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dikelar sehingga menyebabkan kematiannya bakal dihadapkan Majistret Temerloh pagi esok.
Mangsa, Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal, anak bongsu daripada tiga beradik dikelar di dalam bilik di rumah mereka kira-kira pukul 8.40 malam di Felda Jengka 13, Maran, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, wanita berusia 31 tahun dari Pasir Puteh Kelantan itu bakal dituduh mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan atas kesalahan membunuh.
“Kertas siasatan telah siap dan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok.
“Pertuduhan akan dilakukan mengikut 302 kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan hendaklah digantung sampai mati,” katanya ketika dihubungi disini hari ini. – K! ONLINE









