KUALA LUMPUR – Pelumba MotoGP Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah gagal meraih kutipan mata pada perlumbaan Grand Prix Catalan, Sepanyol walaupun mempamerkan aksi hebat pada malam tadi.
Pelumba berusia 24 tahun yang mewakili Monster Yamaha Tech 3 itu yang bermula di petak ke-14, mempamerkan pecutan yang mengagumkan untuk berada di kedudukan kesembilan sebelum jenteranya hilang kawalan dan tergelincir hanya beberapa pusingan untuk menamatkan perlawanan.
“Saya berasa sangat selesa semasa perlumbaan, tetapi telah melakukan kesilapan dan jentera tidak dapat dikawal. Saya cuba untuk kembali berada di posisi yang betul tetapi tiba-tiba motor saya tergelincir dan saya terjatuh.
“Saya rasa sangat bersalah kepada pasukan saya. Saya akan belajar daripada kesilapan ini dan akan kembali dengan lebih bersemangat,” kata Hafizh dalam laman web rasmi pasukan itu.
Hafizh bagaimanapun teruja untuk menyertai GP Belanda apabila menyasarkan untuk mengutip semula mata yang hilang dalam tempoh 12 hari. – Bernama










