SAUDARA PENGARANG,
AKHIR-AKHIR ini terlalu banyak desakan demi desakan dari rakyat yang mahu kerajaan melaksanakan janji-janji pilihan raya.
Hasrat dan cita rasa rakyat keseluruhannya begitu tinggi untuk melihat perubahan yang bakal dibawa kerajaan seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Namun belum pun kerajaan melaksanakan janji, sudah kedengaran rakyat berkokok di sana-sini seolah-olah kerajaan baharu sedang tidur lena.
Adalah diharapkan rakyat bersabar dan bersyukur menerima kerajaan baharu.
Ibarat memasuki sebuah rumah baru, seseorang itu perlu membersihkan setiap inci rumah demi menjamin keselamatan keluarga sebelum dapat mendiami dengan selesa di dalam rumah tersebut.
Begitu juga dengan kerajaan baharu, buat masa ini terpaksa mencuci segala pemberi mahupun penerima rasuah dalam negara dan sebagainya.
Adalah mustahil kerajaan boleh serta-merta menunaikan segala permintaan rakyat.
Rakyat perlu beri peluang kepada kerajaan merancang dan mengatur strategi mereka terlebih dahulu tanpa diganggu gugat dengan pelbagai desakan yang memenatkan.
Buat waktu ini belum masanya untuk rakyat menegur dan membuat kesimpulan tentang prestasi kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat Malaysia yang sayangkan negara perlu banyak kesabaran menanti perubahan demi perubahan yang bakal dilakukan oleh kepemimpinan baharu dari masa ke semasa.
OUI SAL
Tanah Merah, Kelantan










