SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK kepada aduan bertajuk Tutup lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan? dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 8 Jun lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil maklum perkara tersebut dan merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan pengadu.
Untuk makluman, lorong motosikal di Laluan Persekutuan FT002 disediakan untuk semua penunggang motosikal dan semua pengguna motosikal wajib menggunakannya.
Isu pengguna motosikal yang tidak menggunakan lorong tersebut berkemungkinan disebabkan oleh sikap penunggang tidak mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa bahagian lorong motosikal terlibat dalam kerja-kerja menaik taraf atau kerja-kerja infrastruktur lain yang sedang dalam pelaksanaan.
Justeru, ada kemungkinan penunggang motosikal akan keluar-masuk antara laluan utama dan lorong motosikal. Penguatkuasaan oleh pihak berkuasa diperlukan bagi memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi penunggang motosikal.
Di samping itu, kempen kesedaran yang melibatkan pelbagai agensi lain juga diperlukan bagi memastikan lorong motosikal digunakan demi keselamatan pengguna motosikal.
Untuk makluman umum, terdapat beberapa lokasi penutupan lorong motosikal berlaku iaitu:
- KM34.4 (Gerbang Kota Darul Ehsan) hingga KM26.3 (KGNS) disebabkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan jambatan motosikal arah ke Klang dan Kuala Lumpur. Pembukaan lorong motosikal ini dijangka bermula secara berperingkat-peringkat dari 14 Jun hingga 3 Ogos 2018.
- KM8.6 hingga KM9.0 (berhampiran Shell dan Petronas) arah Kuala Lumpur disebabkan kerja-kerja pembinaan LRT3 dan bahagian lorong ini dijangka ditutup sehingga 2020. Lokasi selain yang dinyatakan dibuka seperti biasa.
JABATAN KERJA RAYA










