JOHOR BAHRU 30 Mei – Tindakan kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan ketua kampung dan ketua masyarakat dalam tempoh singkat tidak mempunyai justifikasi kukuh, sebaliknya bermotifkan politik.
![]() |
|
MOHAMED KHALED NORDIN
|
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, alasan bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri juga tidak munasabah kerana Johor merupakan negeri yang mempunyai bajet surplus.
“Tindakan menamatkan perkhidmatan golongan ini bersifat angkuh, kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan ketua kampung dan Ketua masyarakat sebagai entiti politik yang perlu dicantas.
“Berbeza dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Biro Tatanegara (BTN), ketua kampung dan ketua masyarakat tidak mempunyai kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mengulas surat pekeliling daripada kerajaan negeri yang menamatkan perkhidmatan ketua kampung dan ketua masyarakat berkuat kuasa 1 Jun ini.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar mendakwa, tindakan kerajaan Pakatan Harapan itu seolah-olah mahu menunjukkan kuasa terhadap pemimpin peringkat rendah masyarakat.
“Penamatan perkhidmatan ini juga dibuat tanpa sebarang penilaian telus atau semakan prestasi terhadap ketua kampung dan ketua masyarakat.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri bersikap politik, terburu-buru dan tidak profesional dalam menguruskan hal berkaitan golongan ini,” katanya sambil menggesa penamatan perkhidmatan itu disemak semula.











