KUCHING 30 Mei – Tiada sebarang kes keracunan makanan dikesan berpunca dari bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 1,905 premis makanan manakala enam pembekal ais diperiksa hingga Ahad lalu.
“Sebanyak 128 kompaun bernilai RM100 hingga RM200 dikeluarkan terhadap premis makanan kebanyakan disebabkan pakaian seperti tidak menutup kepala dan memakai sarung tangan atau penyepit manakala pembekal ais (dua kompaun dikeluarkan).
“Selain itu, sebanyak 3,198 pengendali makanan diperiksa yang mana 1,589 diberikan suntikan anti-tifoid dan 1,626 telah menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika membuat Tinjauan di Bazar Ramadan Kubah Ria, sebentar tadi.
Pada tinjauan itu juga, beliau bersama pasukannya mengedarkan risalah mengenai pengendalian makanan yang betul dan cara pemilihan makanan bersih kepada pengendali serta pengunjung bazar.
Mengulas lanjut, Jamilah berkata, sekiranya kompaun berkenaan tidak dibayar, mereka boleh didenda RM2,000 dan dipenjara dua tahun.
“Kita juga melakukan pensampelan makanan secara rawak dengan menumpukan kepada makanan berisiko tinggi dan kerap didapati melanggar peraturan berdasarkan rekod pemantauan lampau.
“Sebanyak 171 sampel telah diambil seperti nasi ayam dan goreng, kuih-muih dan air dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan (MKKM) Kuching dan Miri,” jelasnya.
Sementara itu, Jamilah memberitahu, lelaki berbangsa Iban didapati pengsan disyaki akibat virus berbahaya di sebuah pasaraya di Sibu yang tular di media sosial kelmarin bukannya disebabkan virus Ebola sebaliknya didiagnosis mengalami jangkitan virus diselaput otak (viral encephalitis).
Katanya, ketika ini pesakit itu masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberi bantuan alat pernafasan di Hospital Miri. – UTUSAN ONLINE








