Salah rehat lebih tiga minggu - Utusan Malaysia

Salah rehat lebih tiga minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID 30 Mei – Mohamed Salah kini terpaksa bertarung dengan masa untuk membolehkannya menyertai skuad Piala Dunia Mesir, kata seorang ahli fisioterapi Liverpool.

Ruben Pons menjangkakan penyerang lincah itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat minggu untuk pulih daripada kecederaan bahu kiri yang menimpanya ketika perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah antara Liverpool dan Real Madrid Ahad lalu.

Dalam insiden itu, penyerang berusia 25 tahun itu ditarik oleh pemain pertahanan Real, Sergio Ramos dan kedua-duanya terjatuh dengan Ramos salah.

Jika jangkaan itu benar, tempoh tiga minggu rehat itu bakal menyaksikan Salah hanya boleh diturunkan pada 19 Jun manakala jika tempoh empat minggu bermakna dia terpaksa diketepikan hingga 26 Jun iaitu sehari selepas perlawanan terakhir Mesir dalam peringkat Kumpulan A.

Ini tidak termasuk tempoh yang diperlukan untuk mengembalikan kecergasannya ke tahap terbaik. Mengikut jadual, Mesir akan menentang Uruguay pada 15 Jun diikuti bertemu Rusia pada 19 Jun dan Arab Saudi pada 25 Jun.

“Dia jelas sedih dengan apa yang berlaku tetapi tetap fokus untuk pulih dan bersedia me­lakukan apa sahaja. Secara prinsipnya paling maksimum hingga empat minggu tetapi kami cuba cepatkan tempoh tersebut. Itu matlamat utama sekarang,” kata Pons.

Salah dikhabarkan sudah ke Sepanyol untuk menjalani rawatan intensif sambil diiringi doktor kelab dan doktor pasukan kebangsaan negaranya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN