KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melantik Hong Leong Bank Bhd. (Hong Leong) dan Hong Leong Islamic Bank Bhd. (Hong Leong Islamic) sebagai ejen Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) bagi menawarkan produk unit amanah.
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, langkah itu sekali gus menjadikan jumlah ejen ASNB kini bertambah kepada 10 institusi dengan melibatkan sebanyak 2,572 cawangan di seluruh negara.
“Pada masa ini, ASNB mempunyai 12 dana unit amanah dengan jumlah dana bernilai RM207.398 bilion yang dimiliki oleh lebih 13.3 juta pemegang akaun.
“Menerusi penawaran kesemua 12 dana tersebut di cawangan Hong Leong dan Hong Leong Islamic berkuatkuasa 1 Jun ini, kami yakin ia dapat membantu memperluaskan capaian dan edaran produk unit amanah ASNB kepada lebih ramai rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis pengumuman pelantikan Hong Leong dan Hong Leong Islamic sebagai ejen ASNB di Menara Hong Leong di sini semalam.
Turut hadir Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad serta Pengerusi Hong Leong Islamic, Datuk Dr. Md. Hamzah Md. Kassim.
Selain itu, Abdul Rahman menjelaskan, ketika ini, kira-kira 90 peratus transaksi ASNB dilaksanakan di cawangan ejennya di seluruh negara, dengan selebihnya 10 peratus adalah di cawangan ASNB sendiri.
“Disebabkan itu, adalah penting untuk kami memperluaskan lagi akses terhadap kesemua 12 dana unit amanah kami.
“Pertambahan Hong Leong dan Hong Leong Islamic sebagai ejen terbaharu ini akan mengukuhkan rangkaian ejen-ejen sedia ada,” ujarnya.
Sementara itu, Md. Hamzah berkata, dengan menggunapakai kekuatan kira-kira 3.5 juta pelanggannya di seluruh negara, bank itu yakin para pelanggan akan dapat memanfaatkan penawaran produk-produk pelaburan ASNB.
“Menerusi kerjasama ini, kami dapat menawarkan lebih banyak produk pelaburan dengan pelbagai ciri yang boleh menjana pulangan jangka panjang, konsisten dan kompetitif kepada para pelanggan,” ujarnya.










