Perang besar bakal tercetus? - Utusan Malaysia

Perang besar bakal tercetus?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY 30 Mei – Israel bertindak mengebom sebanyak 25 kedudukan pergerakan Hamas selepas sera­ngan roket dan mortar bertalu-talu dilancarkan dari Genting Gaza selain menafikan dakwaan Palestin bahawa gencatan senjata dicapai selepas ketegangan terburuk antara kedua-dua pihak tercetus sejak perang 2014.

Serang balas itu menimbulkan kemungkinan satu lagi perang besar bakal tercetus di wilayah terkepung tersebut yang ditadbir pergerakan Hamas, dan akan menjadi yang keempat sejak 2008.

Israel menyasarkan lebih da­ripada 60 kedudukan tentera di Genting Gaza dalam tempoh 24 jam dengan mendakwa sekurang-kurangnya 70 roket dan mortar ditembak ke wilayah mereka sepanjang semalam de­ngan sebahagian besar serangan terbabit berjaya dipintas.

Rejim Zionis memaklumkan, sebanyak tiga orang tentera Israel cedera dengan tiada laporan kehilangan jiwa daripada pihak Palestin.

Malam semalam, juruca­kap pergerakan Islamic Jihad mendakwa satu gencatan senjata dengan Israel telah dicapai ketika Timbalan Ketua Hamas, Khalil al-Hayya menegaskan pergerakan tersebut komited terhadap langkah terbabit jika Israel turut berbuat demikian.

Dalam pada itu, keadaan di Genting Gaza hari ini tenang berbanding semalam.

Tentera Israel enggan mengulas mengenai dakwaan gencatan senjata itu namun Menteri Risikannya, Yisrael Katz menafikan sebarang rundingan mengenai­nya.

“Israel tidak mahu situasi semasa bertambah buruk namun pihak yang memulakan keganasan itu perlu menghentikannya. Israel akan memastikan Hamas membayar setiap serangan ke atas Israel,” katanya.

Keganasan semalam berlaku ekoran kekacauan terburuk di sepanjang sempadan antara Israel dan Gaza.

Dalam satu kenyataan bersama yang jarang berlaku, Hamas dan Islamic Jihad mengumumkan tanggungjawab mereka di atas serangan roket dan mortar tersebut dan mendakwa sebagai langkah balas kepada serangan Israel ke atas kedudukan mereka.

Sebanyak tiga anggota Islamic Jihad terbunuh dalam serangan tentera Israel pada Ahad lalu dan kumpulan itu berikrar untuk membalas pembunuhan tersebut.

Sementara itu, Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijangka bermesyuarat bagi membincangkan keganasan tersebut atas permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengadakan mesyuarat tergempar.

“UNSC sepatutnya marah dan bertindak balas terhadap keganasan terbaharu itu yang di­sasarkan ke atas orang awam Israel yang tidak bersalah,” kata Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.

Kuwait yang merupakan anggota bukan tetap yang mewakili negara Arab mengedarkan draf resolusi meminta pertimbangan langkah untuk menjamin keselamatan dan perlindungan orang awam Palestin. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN