SAUDARA PENGARANG, PILIHAN Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah selesai. Rakyat Malaysia bangkit menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan memberi peluang Pakatan Harapan memerintah bumi bertuah ini.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan khidmat kesihatan, perubatan serta rawatan kepada ibu bapa serta kita sendiri sejak lahir hingga sekarang.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan sekolah, guru dan buku untuk kita mengenal asas ilmu dan pengetahuan.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan universiti, pensyarah serta pelbagai kemudahan untuk kita dan anak-anak melanjutkan pengajian hingga menjadi insan terbilang.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan untuk kita dan anak-anak menjalani kehidupan dengan sempurna. Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan pelbagai rumah ibadat untuk semua rakyat Malaysia.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang menyediakan peluang menunaikan haji kepada umat Islam di Malaysia sehingga diakui terbaik di dunia.
Sehina-hina UMNO dan BN, parti inilah yang membina negara ini hingga rakyat hidup harmoni dan selesa.
Sesungguhnya UMNO tidak kalah dalam PRU14. Yang kalah adalah pemimpin dan bekas pemimpin UMNO dalam menghayati roh dan dasar perjuangan UMNO.
Ada pemimpin lebih utamakan dan kelompok sendiri. Ada bekas pemimpin yang sanggup menongkah arus menyerang organisasi keramat yang menjulang nama mereka.
Akhirnya UMNO dihina dek sikap mereka yang pentingkan diri sendiri.
ORANG UMNO








