MANUSIA terpintar di dunia yang juga pemenang Anugerah Nobel, Albert Einstein pernah berkata, politik adalah lebih sukar daripada fizik. Barangkali kata-katanya itu benar. Masakan tidak, perkara yang kita rasakan hampir mustahil terjadi, telah berlaku. Contoh paling terdekat, gelombang Pilihan Raya Umum ke-14 di negara kita baru-baru ini.
Pada pilihan raya itu, pandangan popular rakyat kononnya Barisan Nasional (BN) mampu menang walaupun tipis ternyata meleset. Telahan itu terpaksa ditelan apabila Pakatan Harapan yang ditunjangi Tun Dr. Mahathir Mohamad menoktahkan kekuasaan BN. Seperti tidak percaya, beliau kembali dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 92 tahun.
Benar, apa yang berlaku di negara kita saling tidak tumpah dengan Jepun. Bayangkan selama 54 tahun memerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik tumbang kepada Parti Demokratik Jepun pada tahun 2009.
Sejarah hampir serupa turut tercipta di India apabila kekalahan Parti Kongres kepada Parti Bharatiya Janata pada tahun 1998 di India, kekalahan Parti Kuomintang kepada Democratic Progressive Party di Taiwan (2000), kekalahan Grand National Party kepada Millennium Democratic Party di Korea Selatan (1997) dan kekalahan Golkar di Indonesia (1999).
Di Britain, satu kejutan juga telah tercetus pada tahun 2015 apabila seorang pelajar berusia 20 tahun, Mhairi Black menjadi wakil rakyat paling muda sejak lebih 300 tahun lalu. Gadis itu menjadi wakil rakyat termuda, sejak Christopher Monck yang menjejakkan kaki ke Parlimen pada tahun 1667 ketika berusia 13 tahun.
Black yang ketika itu masih belajar dalam jurusan sains politik di Universiti Glasgow, Scotland mewakili Parti Kebangsaan Scotland (SNP) berjaya menyingkirkan penyandang, Douglas Alexander daripada kerusi Paisley dan Renfrewshire Selatan dengan meraih majoriti lebih 6,000 undi.
Kemenangan Black itu sekali gus telah ‘mematikan’ kerjaya Alexander yang merupakan pemimpin kanan Parti Buruh. Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi Parti Buruh, Jim Murphy yang menyandang kerusi Renfrewshire Timur sejak tahun 2005 turut kecundang.
Berdasarkan rekod, parti yang mewakili Black telah memenangi 56 kerusi di seluruh Scotland dan hampir menyapu bersih kesemua tempat yang sebelum ini diwakili oleh Parti Buruh.
Kalau diukur dari segi pengalaman, Black sememangnya terpelanting jauh. Beliau juga bukan anak orang kaya yang berpengaruh. Justeru, apa yang ada padanya sehingga beliau menjadi pilihan rakyat Scotland?
Kepada stesen televisyen Sky News, Black berkata: “Apa yang orang ramai dahagakan ialah perubahan dan mereka menaruh harapan kepada parti yang mereka fikir mampu menunaikan perubahan tersebut.”
Ujar gadis yang berkebolehan bermain piano, keputusan rakyat Scotland memilih parti SNP adalah ekoran kesedaran politik yang semakin memuncak.
Kisah Black sama seperti calon Bebas, P. Prabakaran yang mencipta sejarah baharu apabila bukan sahaja menjadi calon termuda pada PRU-14 tetapi berjaya memenangi kerusi Parlimen Batu dengan majoriti 24,438 undi.
Kejayaannya juga sekali gus memadamkan rekod 41 tahun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini menjadi wakil rakyat termuda selepas memenangi Parlimen Pekan pada 21 Februari 1979.
Aspirasi Prabakaran yang mahu menjadi suara orang muda dan membawa isu-isu berkaitan golongan itu ternyata menjadi kunci kejayaannya sehingga beliau bergelar Ahli Parlimen pada usia yang sangat muda.
Cerita luar biasa juga berlaku di Thailand apabila republik itu pernah menerima seorang cef menjadi Perdana Menteri melalui Samak Sundaravej. Di Filipina, selebriti, Joseph Estrada diterima memimpin negara. Begitu juga dengan bintang filem aksi, Arnold Scwarzenegger yang dipilih pengundi memegang jawatan Gabenor California.
Sememangnya politik memang tidak sunyi daripada kejutan.
Melihat kepada jalan cerita Black, Prabakaran dan tokoh-tokoh dunia yang lain, jelas menunjukkan bahawa sistem demokrasi memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa pemimpin mereka untuk mentadbir negara. Kemahuan majoriti adalah apa yang diterjemahkan di dalam peti undi. Rakyat tentu tidak akan pilih individu yang akan membinasakan dan merosakkan negara.
Black sendiri berkata, prinsip demokrasi sebenarnya memberi ruang kepada rakyat untuk menukar tampuk pemerintahan sebagai usaha menyegarkan suasana politik.
Mahathir, Mhairi Black dan kuasa demokrasi










