PUTRAJAYA – Satu laporan penuh berhubung pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dijangka akan dikeluarkan oleh kerajaan pada Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya telah mengarahkan laporan yang dibuat oleh pakar dari tujuh buah negara termasuk Australia, China, Perancis, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Malaysia itu disegerakan.
“Kerajaan komited untuk memastikan laporan penuh pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 disiapkan Julai ini dan terbuka kepada sebarang cadangan sekiranya dibuktikan pesawat itu ada di sesuatu lokasi.
“Laporan penuh ini akan diberikan kepada keluarga dan waris mangsa dalam satu perjumpaan khas yang akan diadakan sebelum laporan tersebut boleh diakses secara terbuka oleh orang ramai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Misi pencarian pesawat MH370 telah bermula sejak empat tahun lalu namun sehingga kini lokasi pesawat masih belum ditemui. – K! ONLINE










