SAUDARA PENGARANG, SALAH satu masjid pilihan saya untuk mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan ialah Masjid Bandar Seri Putra di Bangi, Selangor.
Masjid ini diiktiraf antara masjid yang paling aktif menganjurkan pelbagai program keagamaan kepada komuniti setempat di Selangor.
Melalui kesempatan ini, saya ingin berkongsi idea yang dilaksanakan oleh pengurusan masjid tersebut untuk mengelakkan anak-anak kecil membuat bising ketika jemaah melaksanakan ibadat.
Inisiatif jawatankuasa masjid tersebut menyediakan perkhidmatan nurseri secara percuma untuk memastikan anak-anak kecil diletakkan di dalam dewan masjid tersebut amat menarik.
Pihak masjid menggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil dibawa untuk dijaga dan diletakkan di bawah pengawasan nurseri agar kanak-kanak tersebut bebas bermain secara terkawal dalam persekitaran masjid.
Saya berharap kaedah ini dapat dilaksanakan komuniti surau dan masjid di seluruh negara agar ibu bapa tenang melaksanakan ibadat sementara anak-anak kecil pula teruja untuk ke masjid, sekalipun hanya untuk bermain, tanpa mengganggu ibadat ibu bapa mereka.
HABIBULLAH
Putrajaya








