SAUDARA PENGARANG, GELORA politik di Perlis tiada tanda-tanda akan reda. Pertikaian antara pihak istana dengan ADUN Barisan Nasional (BN) nampaknya tiada jalan penyelesaian.
Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bertegas mahu melantik adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai Menteri Besar, manakala pihak istana mahukan bekas Menteri Besar terdahulu iaitu Datuk Seri Azlan Man.
Shahidan dan sembilan ADUN BN bertindak memulaukan upacara angkat sumpah Azlan sebagai Menteri Besar sekali gus memecat ADUN Bintong itu dari BN.
Raja Perlis tidak mahu Ismail menjadi Menteri Besar dengan alasan tidak mahu Menteri Besar ‘boneka’. Shahidan pula memberi alasan, Azlan tidak mendapat sokongan majoriti ADUN.
Sekiranya kemelut ini berpanjangan, saya cadangkan ambillah kaedah pengundian. Kedua-dua calon yang dipertikaikan dikehendaki mencabut undi. Biar Allah SWT yang menentukan siapa calon yang bernasib baik.
Kaedah ini pernah dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW di mana Baginda membuat undian ke atas dua orang isterinya iaitu Aisyah dan Habsah siapakah yang ditentukan Allah untuk dibawa bersama Baginda dalam suatu urusan rasmi.
RAKYAT SEJAHTERA








