SAUDARA PENGARANG, DAHULU kami mohon kerja di sebuah jabatan yang bernama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Ketika sesi temuduga, kami sendiri tidak tahu bidang tugas pegawai-pegawai Jasa secara terperinci.
Setelah diterima bekerja barulah kami tahu dengan jelas bahawa Jasa adalah sebuah jabatan yang menyokong, mendukung serta mempertahankan kerajaan memerintah.
Oleh kerana ketika kami bertugas kerajaan yang memerintah adalah kerajaan Barisan Nasional (BN), maka taat setia kami tentulah kepada BN. Siapakah Perdana Menteri dalam kerajaan ketika itu? Tidak lain tidak bukan, Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Ketika itu, di zaman Datuk Zainal Abidin dari Kelantan yang menjadi Ketua Pengarah sebelum digantikan Datuk Mohd. Amin dari Pahang.
Siapakah yang menyuburkan darah merah kami untuk mempertahankan UMNO dan BN? Tak lain tak bukan, Dr. Mahathir juga orangnya. Siapakah yang mengarahkan kami untuk menentang DAP habis-habisan? Juga Dr. Mahathir,
Siapakah yang menerap dan meyakinkan kami bahawa DAP adalah parti rasis anti-Melayu dan Islam? Juga Dr. Mahathir. Siapakah yang telah memperjelaskan kepada kami bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang kaki liwat dan tidak bermoral sehinggakan terpaksa diambil keputusan untuk memecat Anwar? Juga Dr. Mahathir sendiri.
Siapakah yang menyuruh kami membuat pemantauan dan rakaman video pemimpin-pemimpin seperti Mat Sabu yang kononnya banyak menabur fitnah kepada kerajaan ketika itu? Itupun Dr. Mahathir sendiri tahu.
Dr. Mahathir, tak banyak jasa kami kepada kepimpinan beliau. Hanya kami pegawai-pegawai marhaen ini yang bertekak, bertengkar mempertahankan Dr. Mahathir ketika beliau dicela sebagai mahafiraun dan mahazalim oleh geng-geng DAP dahulu.
Di setiap pilihan raya kecil kami bertugas, berbulan-bulan meninggalkan keluarga berperang dengan DAP, PKR dan PAS yang ingin menjatuhkan Dr. Mahathir dahulu.
Di pelosok kampung yang taksub, kami mahu buat ceramah pun mereka tunggu dengan parang tetapi pegawai Jasa redah juga, redah bukan kerana gaji RM1,000 itu tetapi redah kerana patuh kepada Dr. Mahathir untuk pertahankan kerajaan dalam apa keadaan sekalipun.
Hari ini keadaan sudah berubah, Dr. Mahathir sudah berpeluk dengan DAP, Anwar dan juga Mat Sabu. Beliau berjaya menjatuhkan kerajaan BN, berjaya membentuk kerajaan baharu bersama Lim Kit Siang yang dahulu beliau sendiri labelkan sebagai cauvanis, rasis serta anti-Melayu dan Islam.
Malangnya, dalam barisan Ahli Parlimen Dr. Mahathir lebih banyak kerusi DAP dan PKR. Kami faham Dr. Mahathir buang kami pegawai-pegawai Jasa mungkin bukan kerana kehendak hati beliau sendiri tetapi oleh kerana ‘terpaksa’ disebabkan dikelilingi majoriti kerusi DAP yang anti-Melayu dan Islam seperti beliau katakan dahulu.
Kami tersenyum melihat video pendek Dr. Mahathir memeluk anak kecil sambil sebak menangis membisikkan kepada anak kecil itu beliau kembali kerana ingin menyelamatkan anak bangsa dan negara.
Dr. Mahathir, walau hari ini anak-anak dan isteri kami juga berpelukan dalam tangisan Ramadan kerana kehilangan tempat mencari rezeki, tapi untuk pengetahuan beliau, kami sesekali tidak pernah menyesal menjadi pegawai Jasa.
Mungkin tidak pernah ada sebesar zarah pun jasa kami kepada Dr. Mahathir, maka kami terima hakikat hukuman politik ini dan redha dengan ketentuan Ilahi.
Cuma apa yang kami khuatirkan ialah Dr. Mahathir bakal melepaskan jawatan kepada Anwar yang dahulu beliau sendiri maklumkan adalah seorang pemimpin tidak bermoral yang tidak boleh diangkat sebagai pemimpin.
Dr. Mahathir bakal tinggalkan untung nasib anak cucu kami kepada DAP yang beliau sendiri mengakui adalah anti-Melayu dan Islam.
Berbahagialah Dr. Mahathir dengan apa yang beliau lakukan, semoga dikurniakan kesihatan yang baik. Insya-Allah suatu hari nanti orang Melayu pasti akan sedar apa yang telah terjadi kepada tanah air ini, sedar di ketika segalanya telah hilang
Maafkan kami Tok Janggut, maafkan kami Datuk Bahaman, Dol Said, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, sekadar ini saja kemampuan kami pertahankan bumi Melayu ini.
Salam Ramadan kepada Dr. Mahathir, saya mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk memohon ampun maaf andai selama berkhidmat di bawah beliau kami ada melakukan silap dan salah, Selamat berpuasa, Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin!
MANTAN PEGAWAI JASA








