BANYAK yang diperkatakan tentang Raja Berperlembagaan di Malaysia, namun tidak ramai yang benar-benar membaca atau memahami sama ada Perlembagaan Persekutuan mahupun Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri Melayu. Lebih sedikit lagi yang memahami bahawa kedudukan Raja-Raja
Melayu dalam perlembagaan tidak muncul secara tiba-tiba pada abad ke-20, dan bukan semata-mata diwarisi daripada model perlembagaan kolonial. Akar sejarahnya jauh lebih tua.
Naratif umum yang menyatakan bahawa Undang-Undang Tubuh Johor 1895 merupakan perlembagaan pertama di Alam Melayu sebenarnya mengabaikan kewujudan tradisi perlembagaan tempatan yang lebih awal melalui Hukum Kanun Melaka (HKM) dan Hukum Kanun Pahang (HKP).
Kedua-duanya bukan sekadar manuskrip undang-undang atau himpunan adat lama, tetapi teks perlembagaan Melayu-Islam yang berdaulat, yang membicarakan pemerintahan, undang-undang, institusi raja, keadilan, pentadbiran, agama, perdagangan dan susunan masyarakat.
Jauh sebelum dunia moden mempopularkan istilah constitutionalism, Kesultanan Melayu telah pun mentadbir melalui tradisi undang-undang dan perlembagaan bertulis yang berteraskan Islam dan adat.
Dalam erti kata itu, negeri-negeri Melayu sebenarnya telah lama menjadi Raja Berperlembagaan sebelum Barat sendiri memberikan bentuk rasmi kepada istilah tersebut.
Kedatangan Islam telah mengubah landskap politik Melayu secara mendalam. Apabila raja-raja Melayu menerima Islam, pemerintahan itu sendiri terikat dengan amanah, keadilan, akhlak dan pertanggungjawaban kepada Allah. Semangat perlembagaan yang terkandung dalam Hukum Kanun Melaka dan
Hukum Kanun Pahang mempunyai persamaan yang jelas dengan prinsip-prinsip pemerintahan dalam Piagam Madinah yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu pemeliharaan keamanan, keadilan, kehidupan bersama, hak, tanggungjawab dan kedaulatan undang-undang dalam masyarakat majmuk.
Berabad lamanya Alam Melayu mentadbir masyarakat berbilang kaum dan agama di bawah kerangka perlembagaan Islam ini tanpa pertentangan.
Islam tidak difahami semata-mata sebagai ibadah ritual, tetapi sebagai suatu sistem ketamadunan yang merangkumi pemerintahan, etika, kewangan, perdagangan, keadilan dan tanggungjawab sosial.
Semangat perlembagaan ini tidak pernah dihapuskan. Ia diteruskan ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri moden.
Di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri hari ini, apabila diperuntukkan bahawa “kuasa pemerintah bagi Negeri hendaklah terletak pada Sultan”, maka Sultan bukanlah sekadar simbol istiadat atau tinggalan sejarah. Baginda kekal sebagai sumber kuasa, kesinambungan, imbangan dan kawalan dalam struktur negeri.
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang sendiri memperjelaskan perkara ini melalui beberapa prinsip asas perlembagaan.
Legitimasi Perlembagaan itu sendiri lahir daripada kedaulatan Sultan Abu Bakar sebagai Raja Pemerintah Negeri Pahang dan jajahan takluknya. Dalam kerangka tersebut, prerogatif Sultan terus dipelihara dan diiktiraf oleh Perlembagaan.
Perlembagaan memperuntukkan bahawa kuasa pemerintah negeri terletak pada Sultan. Sultan juga mempunyai kuasa memperkenankan Rang Undang-Undang, kuasa pengampunan, serta kuasa-kuasa prerogatif tertentu yang menjadi sebahagian daripada kuasa kedaulatan Raja Pemerintah.
Badan Perundangan Negeri pula terdiri daripada Raja bersama komponen-komponen perlembagaan negeri yang lain. Maka Sultan bukan berada di luar struktur perlembagaan, tetapi merupakan sebahagian daripadanya.
Melalui kuasa prerogatif Baginda, Sultan turut berperanan dalam penubuhan dan kesinambungan institusi Mahkamah Syariah, di samping menjalankan kuasa-kuasa baki tertentu dalam kerangka perlembagaan negeri.
Ini bermakna Sultan bukan sekadar hadir untuk merasmikan pembukaan Dewan Undangan Negeri melalui titah diraja. Dari sudut perlembagaan, Raja sendiri merupakan sebahagian daripada Badan Perundangan Negeri.
Maka institusi kesultanan bukanlah sekadar simbolik, tetapi komponen penting dalam struktur perlembagaan dan pemerintahan negeri.
Dalam tradisi perlembagaan Melayu-Islam yang lebih awal, raja tidak pernah dimaksudkan untuk memerintah secara sewenang-wenangnya.
Sultan difahami sebagai khalifah dan pemegang amanah, dipertanggungjawabkan untuk memelihara agama, keadilan, kedaulatan, adat dan kebajikan rakyat. Raja sendiri terikat secara moral kepada undang-undang, agama, etika, dan pertanggungjawaban kepada Allah.
Sebab itulah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang bukan sahaja membicarakan soal undang-undang, tetapi juga menghuraikan sifat-sifat yang wajib ada pada raja dan para pembesar, keikhlasan, keadilan, kesabaran, kebijaksanaan, integriti, kemampuan menahan hawa nafsu dan tipu daya syaitan, serta tanggungjawab terhadap rakyat. Pemerintahan tidak pernah dipisahkan daripada akhlak.
Dalam banyak perkara, Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang mengandungi peruntukan undang-undang dan moral yang jauh lebih ketat berbanding Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri pada hari ini.
Tradisi Kanun memberikan penekanan besar terhadap tertib, hierarki, disiplin, adab, tanggungjawab, dan penghormatan terhadap autoriti serta pemerintahan.
Khususnya dalam Hukum Kanun Pahang, banyak larangan dan peraturan etika menggambarkan sebuah masyarakat yang memahami dengan jelas kedudukan dan tanggungjawab pemerintah serta rakyat dalam susunan perlembagaan negeri.
Penghormatan terhadap institusi raja bukan dilihat semata-mata sebagai ketaatan politik, tetapi sebagai sebahagian daripada usaha memelihara keharmonian, kestabilan, adab dan keseimbangan moral masyarakat.
Namun begitu, peruntukan-peruntukan tersebut mesti difahami dalam konteks sejarah dan ketamadunannya. Tradisi perlembagaan Melayu-Islam tidak pernah memisahkan pemerintahan daripada akhlak, undang-undang daripada etika, atau kuasa daripada tanggungjawab.
Raja sendiri turut terikat dengan amanah, keadilan, kesederhanaan dan pertanggungjawaban kepada Allah.
Mungkin inilah yang semakin dilupakan masyarakat moden, dalam tradisi perlembagaan Melayu lama, kebebasan tidak pernah difahami tanpa adab, autoriti tidak pernah wujud tanpa tanggungjawab dan kuasa tidak pernah dipisahkan daripada kawalan moral.
Tradisi perlembagaan Melayu turut mengiktiraf bahawa kedua-dua pihak, pemerintah dan rakyat, tertakluk kepada susunan undang-undang dan perlembagaan.
Sultan tidak diletakkan sebagai musuh kepada undang-undang; sebaliknya undang-undanglah yang memelihara martabat, kesinambungan, dan kedaulatan institusi itu sendiri.
Dalam pandangan alam Melayu, raja dan rakyat berpisah tiada dan begitu juga raja dan undang-undang juga berpisah tiada.
Sultan tidak berdiri untuk satu kaum, kelompok politik, atau ideologi sementara, tetapi untuk kesinambungan negeri dan perlindungan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, latar belakang atau kepercayaan.
Menjadi Sultan bukan sekadar mewarisi keistimewaan, tetapi mewarisi tanggungjawab, pengorbanan, maruah, integriti dan pertanggungjawaban di hadapan sejarah dan Allah.
Dalam tradisi perlembagaan Melayu, Sultan bukan sahaja penjaga undang-undang, tetapi juga penjaga rakyat. Namun hubungan ini bersifat timbal balik, ketika Sultan memelihara rakyat, Baginda sendiri dipelihara oleh rakyat melalui kesetiaan, kepercayaan dan ikatan suci antara raja dan rakyat.
Institusi kesultanan tidak pernah diwujudkan terpisah daripada rakyat. Dalam waktu ketidaktentuan, krisis, atau pergolakan politik, Sultan berdiri sebagai pelindung perlembagaan, pusat moral, dan lambang kesinambungan negeri.
Baginda mewakili rakyat melangkaui politik kepartian, kelompok dan kepentingan sementara.
Sebagai semak dan imbang perlembagaan negeri, Sultan memikul antara tanggungjawab paling berat dalam memastikan keamanan, kestabilan, kesinambungan dan keharmonian negara sentiasa terpelihara.
Mengatasi politik dan kepentingan sementara, Sultan berdiri sebagai penjaga Perlembagaan, pelindung rakyat dan pemelihara susunan moral serta ketatanegaraan negeri.
Sebab itulah tradisi Melayu sentiasa menegaskan bahawa raja dan rakyat berpisah tiada. Raja tidak terpisah daripada rakyat, bahkan memikul amanah rakyat serta menjaga kestabilan, kesejahteraan dan maruah negeri.
Kebelakangan ini ramai yang berbicara tentang Perlembagaan tanpa benar-benar memahami akar sejarah dan falsafah perlembagaannya.
Maka mungkin sudah tiba masanya untuk menghayati peringatan Sultan Selangor agar Rukun Negara dibaca dan difahami, dan juga titah Sultan Pahang agar Perlembagaan itu sendiri dibaca dan dihayati sebaiknya.
Namun bagi mereka yang benar-benar ingin memahami roh di sebalik Perlembagaan, maka bacalah Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang.
Kerana di dalam teks-teks perlembagaan Melayu-Islam itulah terletaknya asas intelektual dan moral tamadun kita, dibina atas keadilan, amanah, undang-undang, kedaulatan, kesederhanaan, dan tanggungjawab kepada Allah.
Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang bukan manuskrip mati daripada zaman silam. Semangat perlembagaannya terus hidup selagi kedaulatan, keadilan, Islam, adat, dan institusi Raja Berperlembagaan dipelihara dalam negara moden ini.
Mereka yang membaca Perlembagaan tanpa memahami Kanun mungkin hanya membaca kulitnya, tetapi gagal memahami rohnya.
Cinta mungkin membutakan mata, tetapi sejarah membuka mata manusia. Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang tidak pernah diam. Ia hanya dibaca melalui lensa yang salah. – UTUSAN
KEBAWAH Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Calon Ijazah Sarjana, Ketua Perlembagaan, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM).










