BEIJING: Sebuah mahkamah di utara China menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua remaja lelaki atas kesalahan membunuh rakan sekelas mereka menggunakan cangkul, satu kes yang mencetuskan perdebatan hangat mengenai jenayah juvana di negara itu, lapor media tempatan.
Dalam keputusan yang diumumkan semalam, mahkamah di bandar Handan, wilayah Hebei, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang suspek yang dikenali sebagai Zhang, manakala rakannya, Li, dihukum penjara selama 12 tahun atas kesalahan membunuh dengan niat.
Menurut laporan stesen penyiaran CCTV, mahkamah menyifatkan kaedah pembunuhan tersebut sebagai sangat kejam dan insiden tersebut sebagai amat keji.
Seorang lagi suspek, yang dikenali sebagai Ma, hanya dijatuhi hukuman pendidikan pemulihan khas mengikut peruntukan undang-undang kerana tidak terlibat secara langsung dalam jenayah tersebut.
Ketiga-tiga mereka berusia 13 tahun ketika kejadian berlaku.
Mayat mangsa, seorang pelajar berusia 13 tahun dikenali sebagai Wang, ditemui pada 10 Mac lalu di sebuah lubang cetek di kawasan rumah hijau terbiar di pinggir bandar Handan.
Ketiga-tiga suspek ditahan sehari selepas penemuan mayat tersebut.
Mahkamah mendapati Zhang dalang utama merancang dan melaksanakan pembunuhan itu manakala Li bertindak membantu pembunuhan dan mengebumikan mangsa.
Ma, yang turut berada di lokasi kejadian, hanya menyaksikan perbuatan itu tanpa mengambil bahagian.
Kes ini berlaku dalam kalangan anak golongan pekerja migran luar bandar yang kerap ditinggalkan di bawah jagaan datuk, nenek atau saudara lain di mana data bancian pada tahun 2020 menunjukkan terdapat hampir 67 juta kanak-kanak seperti ini di China.
Kajian akademik mendedahkan kanak-kanak dalam kategori ini lebih berisiko menghadapi masalah kesihatan mental, menjadi mangsa buli dan terlibat dalam tingkah laku jenayah.
Kes ini turut mencetuskan perdebatan di media sosial, dengan ramai yang berpendapat bahawa hukuman bagi pelaku bawah umur terlalu ringan untuk jenayah berat seperti ini.
Beberapa peguam dan pengguna media sosial turut menggesa pelaksanaan hukuman mati sebagai langkah pencegahan.










