LONDON: Walaupun menjadi kegilaan ramai termasuk selebriti terkenal dunia seperti Kim Kardashian dan Rihanna, anak patung popular Labubu kini menjadi bahan perdebatan hangat apabila ada pihak mendakwa ia membawa ‘tenaga syaitan’.
Labubu, sejenis patung mainan koleksi yang berasal dari China dan dikenali dengan bentuk badannya yang gebu, mata terbeliak dan senyuman menyeramkan dengan gigi tajam, dijual pada harga bermula AS$15 (RM71) sehingga AS$960 (RM4,555) bagi edisi bersaiz mega.
Namun, tular dalam media sosial terutama TikTok apabila wujud teori konspirasi yang mengaitkan patung itu dengan makhluk jahat dari zaman Mesopotamia dikenali sebagai Pazuzu yang juga watak syaitan dalam filem seram terkenal The Exorcist.
Netizen mendakwa bentuk gigi tajam dan senyuman Labubu menyerupai ikonografi Pazuzu dalam artifak purba dan lebih mengejutkan, terdapat pemilik patung Labubu yang didakwa menyimbah air suci ke atas anak patung itu bagi ‘menyah tenaga jahat’, sementara yang lain mengambil tindakan lebih drastik dengan membungkusnya dalam plastik dan menyimpannya di luar rumah.
Dalam satu hantaran di Reddit, seorang pengguna berkongsi pengalaman seram apabila teman lelakinya bermimpi patung Labubu ‘membuka mata’ dan bersembunyi dalam beg tangan selain mendakwa terdengar bunyi ketawa halus dari belakang rak kucing sebelum menemui patung itu tersembunyi di situ.
Namun begitu, tiada sebarang bukti sahih bahawa patung Labubu mempunyai kebolehan menghasilkan bunyi mahupun mengundang aktiviti paranormal.
Menurut syarikat pengeluar Pop Mart, Labubu hanyalah sebahagian daripada siri patung rekaan fantasi ‘The Monsters’, yang diinspirasikan daripada watak kanak-kanak rekaan artis Kasing Lung berunsur makhluk dongeng Nordik.
Kegilaan terhadap patung ini meningkat selepas Pop Mart memperkenalkan konsep ‘blind box’ di mana pembeli tidak mengetahui versi mana yang bakal diperoleh sehingga kotak dibuka, sekali gus merangsang pasaran koleksi secara besar-besaran.
Kim Kardashian sebelum ini memuat naik koleksi Labubunya di Instagram yang memaparkan 10 anak patung tersusun kemas.
Pop Mart dan Kasing Lung sebelum ini tidak pernah mengaitkan Labubu dengan unsur spiritual, dan peminat menganggap dakwaan ini hanyalah mitos.









