Senator AS rancang perkenal RUU halang penglibatan AS dalam perang Iran-Israel - Utusan Malaysia

Senator AS rancang perkenal RUU halang penglibatan AS dalam perang Iran-Israel

BERNIE SANDERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders pada Sabtu mengumumkan rancangan memperkenalkan satu rang undang-undang (RUU) yang bertujuan menghalang penggunaan dana persekutuan bagi sebarang tindakan ketenteraan Amerika terhadap Iran tanpa kelulusan khusus dari Kongres, lapor agensi berita Anadolu.

“AS tidak boleh terjerumus dalam perang haram Netanyahu terhadap Iran,” tegas Sanders dalam satu kenyataan di platfrom media sosial X.

“Saya akan memperkenalkan rang undang-undang untuk melarang penggunaan dana persekutuan bagi sebarang tindakan ketenteraan di Iran atau terhadap Iran tanpa kelulusan jelas Kongres, kecuali untuk tujuan mempertahankan diri,” katanya.

Pengumuman itu hadir di ketika kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan pemimpin Washington berhubung kemungkinan AS terlibat dalam konflik berskala besar.

Sanders, yang sebelum ini terkenal sebagai pengkritik lantang terhadap dasar ketenteraan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terutamanya di Gaza, turut mengecam tindakan unilateral rejim tersebut menyerang Iran yang didakwanya boleh mencetuskan perang serantau yang lebih luas.

Tindakan itu menurut beliau, tidak hanya berbahaya tetapi turut melangkaui sempadan undang-undang antarabangsa dan perlembagaan Amerika sendiri yang meletakkan Kongres sebagai badan yang berkuasa dalam mengisytiharkan perang.

Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran pada awal pagi Jumaat lalu dengan mensasarkan beberapa tapak nuklear dan pangkalan peluru berpandu milik Iran sehingga menyebabkan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis nuklear Iran terbunuh.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan misil dan dron ke wilayah Israel pada malam hari yang sama.

Langkah Sanders memperkenalkan rang undang-undang ini dijangka menghidupkan semula perbahasan hangat di Capitol Hill mengenai had kuasa presiden dalam melancarkan operasi ketenteraan luar negara, khususnya dalam situasi konflik yang melibatkan sekutu utama Washington seperti Israel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN