Korban banjir di Thailand meningkat 60 orang

Korban banjir di Thailand meningkat 60 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Banjir di Thailand sejak pertengahan September meragut 60 nyawa di seluruh negara, dengan paras air sungai masih meningkat di beberapa kawasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hujan lebat selama beberapa hari pada akhir bulan lalu menenggelamkan sebahagian kawasan di ibu negara Bangkok, walaupun banjir di bandar itu sebahagian besarnya sudah surut.

Keadaan masih sukar bagi ramai penduduk di wilayah Prachinburi di tengah Thailand, dengan 19 orang dilaporkan maut, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana.

Jabatan berkenaan dalam satu kenyataan berkata, sungai yang melimpah menenggelamkan rumah di tujuh daerah di wilayah itu, menjejaskan lebih 188,000 penduduk.

Katanya, mangsa turut dilaporkan maut di kira-kira 12 wilayah lain dan ibu negara, manakala banjir masih berlaku di 27 daripada 77 wilayah Thailand.

Di Bangkok, empat orang maut sejak 16 September selepas hujan selama sebulan turun dalam tempoh beberapa hari pada akhir September, sehingga mendorong pengisytiharan bencana di seluruh bandar.

Kerja-kerja pembersihan besar-besaran sedang giat dijalankan ketika bandar itu membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang bermula minggu depan.

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul yang berdepan kritikan awam berhubung pengurusan banjir, pada Isnin mengarahkan agensi kerajaan menguruskan banjir dan pengangkutan bagi mengelakkan gangguan terhadap mesyuarat berkenaan.

September merupakan kemuncak musim hujan di Thailand, namun tahun ini keadaan dirasakan lebih buruk oleh ramai penduduk Bangkok, sebuah bandar yang dibina di kawasan bekas paya dan dilintasi rangkaian terusan.

Sesetengah kawasan ditenggelami air sehingga paras lutut selama beberapa hari, dengan kenderaan ditinggalkan di jalan yang ditenggelami air dan sekolah terpaksa ditutup selama dua hari.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN