Denda RM556,000 jika rakam gambar di kawasan sekolah - Utusan Malaysia

Denda RM556,000 jika rakam gambar di kawasan sekolah

IBU bapa dilarang merakamkan gambar menerusi telefon bimbit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Ibu bapa yang merakam gambar atau  video kanak-kanak di kawasan sekolah tanpa kebenaran boleh dikenakan denda sehingga Dh500,000 (RM556,000) di bawah undang-undang privasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Memuatkan artikel berkaitan…

Denda itu akan dikenakan  jika aduan dibuat kepada pihak berkuasa.

Hukuman denda itu dibuat selepas Gulf News melaporkan pada Isnin bahawa sekolah di Dubai dan Sharjah mengeluarkan pekeliling meminta ibu bapa dan pelawat supaya tidak merakamkan gambar pelajar di kawasan sekolah.

Pekeliling itu juga meminta  ibu bapa tidak berkongsi gambar yang memaparkan kanak-kanak lain menerusi kumpulan WhatsApp, media sosial atau platform digital lain tanpa kebenaran sewajarnya.

Terdapat sebahagian ibu bapa mungkin menganggap perkara itu hanya berkaitan dengan memuat naik gambar untuk tatapan umum. Namun, Gulf News diberitahu bahawa undang-undang UAE juga boleh terpakai terhadap perbuatan merakamkan  gambar tanpa kebenaran dan berkongsinya secara peribadi.

Angka Dh500,000 itu bukan denda automatik yang dikenakan pihak sekolah kerana me­rakamkan gambar. 

Ia adalah hukuman yang berpotensi dikenakan di bawah Undang-undang Jenayah Siber UAE jika aduan dibuat kepada pihak berkuasa dan perbuatan tersebut didapati merupakan suatu kesalahan.

Perunding Undang-undang Kanan di Amal Alrashedi Lawyers & Legal Consultants, Dr Hassan Elhais menjelaskan bahawa ibu bapa atau pelawat boleh berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, denda antara Dh150,000 (RM167,000) hingga Dh500,000 atau kedua-duanya sekali, jika pengambilan atau perkongsian gambar kanak-kanak didapati melanggar privasi mereka di bawah Perkara 44 Undang-undang Jenayah Siber UAE.

Peruntukan itu meliputi penggunaan teknologi elektronik de­ngan sengaja untuk menceroboh privasi atau kehidupan peribadi atau keluarga seseorang tanpa kebenaran atau kuasa yang sah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN