SEOUL: Mahkamah Korea Selatan menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap penyanyi K-pop, Song Min-ho, selepas didapati bersalah melanggar undang-undang khidmat tentera negara itu.
Anggota kumpulan lelaki Winner berusia 33 tahun itu didapati beberapa kali tidak hadir bertugas di sebuah pusat khidmat masyarakat di Seoul sebagai pekerja sosial dari 2023 hingga 2024.
Semua lelaki Korea Selatan yang layak dan sihat diwajibkan menjalani sekurang-kurangnya 18 bulan khidmat tentera. Namun, sesetengah daripada mereka atas faktor kesihatan diberikan penempatan alternatif sebagai petugas khidmat sosial.
Hukuman penjara yang dijatuhkan pada Khamis itu ditangguhkan selama dua tahun, bermakna Min-ho tidak perlu menjalani hukuman penjara sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh percubaan itu.
Mahkamah dimaklumkan Min-ho yang turut dikenali dengan nama pentas Mino, merekodkan 102 ketidakhadiran tanpa kebenaran sepanjang 21 bulan menjalani khidmat sebagai petugas sosial.
Mahkamah berkata, khidmat tentera merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan petugas khidmat sosial tidak terkecuali daripada kewajiban itu.
Bagaimanapun, mahkamah turut mengambil kira pengakuan Min-ho terhadap pertuduhan serta penyesalannya.
Pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap Min-ho sejurus beliau menamatkan khidmat pada 2024 selepas media tempatan melaporkan bintang K-pop itu kerap tidak hadir bertugas dan mengambil cuti sakit secara berlebihan.
Penyelia Min-ho di pusat khidmat sosial itu turut dijatuhi hukuman penjara dengan penangguhan kerana membantunya mengelak daripada menjalankan tugas, termasuk memalsukan rekod bagi menunjukkan artis itu hadir bekerja.
Kewajipan artis Korea Selatan menjalani khidmat tentera sudah lama menjadi topik perdebatan awam di negara itu.
Penyanyi lagu Gangnam Style, Psy, pernah diwajibkan menjalani khidmat tentera sebanyak dua kali, iaitu pada 2003 dan sekali lagi pada 2007, selepas mahkamah di Seoul memutuskan beliau mengabaikan tanggungjawabnya dengan meneruskan aktiviti dalam industri hiburan ketika menjalani khidmat kali pertama.
Steve Yoo, antara bintang pop terbesar Korea Selatan pada 1990-an dan awal 2000-an, terbabit dalam kontroversi nasional selepas didapati mengelak daripada menjalani khidmat tentera pada 2002.
Pihak berkuasa Korea Selatan kemudian mengharamkan kemasukannya ke negara itu selepas beliau melepaskan kewarganegaraan Korea Selatan dan menjadi warganegara Amerika Syarikat (AS) tidak lama sebelum sepatutnya menjalani khidmat tentera. Mengambil cuti panjang untuk menjalani khidmat tentera sering dilihat sebagai ancaman terhadap kerjaya artis baharu di Korea Selatan, yang mempunyai industri hiburan yang berkembang pesat.
Namun, tindakan mengelak daripada menjalani khidmat tentera juga boleh mengundang perhatian awam yang hebat serta tindakan undang-undang.
Menjelang keputusan mahkamah pada Khamis, Min-ho memberitahu pemberita beliau menyesali perbuatannya dan memohon maaf kepada orang ramai yang telah memberikannya begitu banyak kasih sayang, lapor Seoul Economic Daily.
Bagaimanapun, Min-ho tidak menjawab soalan sama ada akan kembali menyertai khidmat tentera bagi melaksanakan kewajipan berkenaan.











