Trump larang wartawan CNN, Politico, MS NOW masuk ke Rumah Putih - Utusan Malaysia

Trump larang wartawan CNN, Politico, MS NOW masuk ke Rumah Putih

WARTAWAN CNN, Betsy Klein dilarang memasuki Rumah Putih. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Wartawan saluran berita CNN, Betsy Klein dihalang daripada memasuki kawasan Rumah Putih pada Sabtu lalu manakala pas medianya dirampas.

Ia berlaku sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan sekatan terhadap tiga agensi berita utama iaitu CNN, MS NOW dan Politico.

Selain Klein, seorang wartawan Politico bersama seorang wartawan dan jurufoto dari MS NOW turut dihalang daripada memasuki pekarangan Rumah Putih sewaktu mereka tiba untuk menjalankan tugasan harian pada pagi Sabtu.

Ketiga-tiga organisasi berita terbabit telah mengesahkan akan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak pengamal media mereka di bawah undang-undang negara itu.

“Awal hari ini, wartawan CNN telah dilarang daripada memasuki kawasan Rumah Putih. 

“Misi CNN untuk melaporkan berita mengenai kerajaan AS akan diteruskan tanpa menghiraukan sebarang percubaan untuk menyekat akses fizikal ke Rumah Putih mahupun bangunan kerajaan yang lain,” kata CNN dalam satu kenyataan rasmi.

CNN turut menegaskan bahawa mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan AS untuk menjalankan tugas kewartawanan tanpa sebarang halangan atau campur tangan daripada pihak kerajaan.

Ia turut menyifatkan sekatan tersebut sebagai serangan haram terhadap hak kebebasan.

Menceritakan detik kejadian, Klein memaklumkan bahawa seorang ejen Perkhidmatan Rahsia memberitahu pas medianya telah dinyahaktifkan secara serta-merta tanpa memberikan alasan kukuh.

“Saya bertanyakan kepadanya sama ada beliau boleh memberikan penjelasan mengapa pas itu dinyahaktifkan. 

“Ejen tersebut memberitahu beliau tidak mempunyai maklumat lanjut dan mengarahkan saya untuk merujuk perkara itu kepada Pejabat Akhbar Rumah Putih,” kata Klein semasa membuat laporan secara langsung bersama penyampai CNN, Kasie Hunt.

Sekatan mengejut itu berkuat kuasa sehari selepas Trump mengumumkan secara tiba-tiba bahawa CNN, MS NOW dan Politico diharamkan serta-merta daripada membuat liputan di Rumah Putih.

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana laporan berita spesifik, Trump meluahkan rasa tidak puas hati secara umum terhadap berita palsu.

Berita palsu itu merupakan istilah yang kerap digunakannya bagi menolak laporan berita yang tidak memihak kepadanya.

Pengumuman drastik itu turut mengejutkan sebilangan kakitangan Rumah Putih sendiri, termasuk pegawai di bahagian pejabat akhbar yang terpaksa bergegas mendapatkan maklumat lanjut berhubung skop pelaksanaan arahan berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×