'Telur mata kerbau' muncul di Gunung Anak Krakatau - Utusan Malaysia

‘Telur mata kerbau’ muncul di Gunung Anak Krakatau

BENTUK 'telur mata kerbau’ gergasi muncul di kawah Gunung Anak Krakatau. - X/Instagram/wxchasing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Fenomena menyerupai  telur mata kerbau muncul di kawasan kawah Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda selepas letusan besar berlaku awal bulan ini sehingga menyebarkan abu vulkanik dari Bengkulu, Sumatera Selatan, Lampung, Jakarta hingga Jawa Barat. 

Penampakan kawah yang menyerupai telur mata kerbau itu tersebar menerusi rakaman video dimuat naik di Instagram menerusi akaun @wxchasing dan mula diperbincangkan oleh netizen minggu lalu.

Bekas Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Daryono berkata,  fenomena  itu berlaku akibat interaksi  antara air yang bertakung di dasar kawah dengan gas gunung berapi, terutama sebatian sulfur,  batuan dan mineral hasil perubahan hidroterma.

“Warna kuning di bahagian tengah berkaitan dengan sulfur dan bahan mineral yang terbentuk atau terlarut akibat aktiviti gunung berapi. 

“Bahagian putih di sekelilingnya merupakan batuan dan mineral yang mengalami perubahan akibat bendalir serta gas panas,” kata Daryono kepada CNBC Indonesia kelmarin.

“Jadi, fenomena ini merupakan proses geokimia semula jadi dalam persekitaran kawah gunung berapi aktif, bukannya sesuatu yang aneh, misteri atau petanda bahaya,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pos Pemantauan Gunung Anak Krakatau Lampung Selatan, Suwarno berkata, fenomena itu merupakan perkara biasa selepas aktiviti letusan.

 Air bertakung yang kelihatan seperti telur mata kerbau itu merupakan air yang tercemar dengan gas belerang.

“Ya, itu ialah kawah Gunung Anak Krakatua. Jadi, ia adalah air yang tercemar dengan gas belerang,” kata Suwarno seperti dipetik detikSumbagsel.

Gunung Anak Krakatau, kira-kira 150 kilometer dari Jakarta membuat letusan besar pada Sabtu dan menghamburkan kepulan abu gunung berapi.

Lapan lapangan terbang terpaksa menghentikan operasi selepas abu dikesan di ruang udara masing-masing, menyebabkan hampir 3,000 penerbangan terganggu dan lebih 340,000 penumpang terkandas, menurut Kementerian Pengangkutan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×