NEW YORK: Starbucks akan menutup 250 lagi kafe di Amerika Utara dalam usaha terbaharunya meningkatkan pulangan kewangan, umum syarikat kopi itu.
Rangkaian berkenaan menyifatkan penutupan itu sebagai langkah menyingkirkan premis yang kurang berprestasi ketika syarikat berusaha meningkatkan pencapaian di Amerika Utara di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Brian Niccol yang menyertai syarikat itu pada September 2024.
“Kami meneliti rangkaian kedai kopi kami di Amerika Utara dan mengenal pasti lokasi yang kami percaya tidak mampu secara konsisten memberikan pengalaman yang kami mahukan kepada pelanggan dan rakan kongsi, atau lokasi yang tidak mempunyai prospek untuk mencapai prestasi kewangan yang boleh diterima,” kata Ketua Pegawai Operasi, Mike Grams.
Grams berkata, penutupan itu bersamaan kira-kira satu peratus daripada 18,000 kafe Starbucks di Amerika Utara.
Penutupan yang diumumkan pada Khamis itu menyusuli langkah setahun lalu untuk menutup ratusan lagi kedai di Amerika Utara, selain pengumuman Niccol, 900 jawatan pentadbiran akan dihapuskan.
Niccol yang sebelum ini mengetuai rangkaian makanan segera Chipotle, berusaha meningkatkan prestasi Starbucks di pasaran domestiknya selepas syarikat itu melalui tempoh prestasi yang kurang memberangsangkan.
Beliau turut mengetengahkan inisiatif ‘Green Apron Service’, yang menggalakkan barista memberikan layanan tambahan kepada pelanggan, termasuk menulis nota pada pesanan minuman, memberikan senyuman mesra, mengingati nama pelanggan atau sekadar berusaha menjadikan hari mereka sedikit lebih baik, menurut laman web Starbucks.
Starbucks sebelum ini merancang membuka antara 600 hingga 650 kedai di seluruh dunia tahun ini. Namun, dalam pemfailan sekuriti pada Khamis, syarikat yang mempunyai 41,000 kedai di seluruh dunia itu berkata, ia hanya akan membuka kira-kira 440 kedai pada tahun kewangan 2026.
Saham Starbucks susut 1.2 peratus dalam dagangan awal petang Khamis selepas pengumuman itu.-AFP











