Fenomena kafe 24 jam bukan lagi asing di bandar-bandar utama Malaysia. Jika dahulu ia sekadar tempat persinggahan buat pemandu malam atau pelancong keletihan. Kini, fungsinya berubah menjadi ruang sosial dan emosional yang lebih kompleks.
Inilah budaya baharu, generasi muda menemui ketenangan, inspirasi dan kadang-kala identiti di malam hari.
Tarikan utama kafe jenis ini bukan sekadar minuman atau makanan bajet tetapi suasananya tenang, luas, bersambung internet tanpa henti dan dihias dengan rekaan moden untuk bergambar.
Ramai yang menganggapnya sebagai tempat ketiga selepas rumah dan institusi pendidikan yang memberikan rasa milik tanpa syarat. Bagi yang tidak selesa berkongsi emosi di rumah atau sukar menumpukan perhatian di perpustakaan, maka kafe malam menjadi ruang tengah yang menenangkan.
Namun, tidak semua melihat budaya ini secara ideal. Terdapat juga pandangan yang mempersoalkan, adakah budaya melepak di kafe 24 jam ini benar-benar membawa manfaat atau sekadar trend yang didorong media sosial. Malah, rutin keluar malam yang berlebihan boleh membawa implikasi terhadap kesihatan fizikal dan mental khususnya apabila waktu tidur terganggu atau pemakanan yang tidak sihat.
Keselamatan turut menjadi isu utama. Kafe mungkin tempat terbuka dan mesra, tetapi perjalanan selepas tengah malam boleh mendedahkan pengunjung kepada risiko, terutamanya apabila persekitaran gelap dan sunyi.
Dalam konteks ini, aspek tanggungjawab perlu datang bukan sahaja daripada individu tetapi juga pengusaha kafe, institusi pendidikan dan komuniti sekeliling.
Dalam masa sama, fenomena ini sebenarnya membuka ruang kepada sokongan sosial yang boleh dibentuk dengan lebih tersusun. Bayangkan jika kafe 24 jam turut menganjurkan malam puisi, sesi belajar berkumpulan, tayangan filem intelektual, atau bengkel seni ekspresif. Ia tidak sekadar menjadi tempat ‘melepak’ tetapi ruang membina komuniti yang inklusif dan menyokong pertumbuhan peribadi.
Kafe 24 jam menjadi sebahagian daripada landskap kehidupan bandar. Ia bukan lagi sekadar tempat membeli kopi tetapi ruang bagi anak muda menyusun hidup. – UTUSAN
AINNA NUR SYAFIA & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










