Perang Ukraine-Russia berlanjutan ke musim sejuk? - Utusan Malaysia

Perang Ukraine-Russia berlanjutan ke musim sejuk?

VOLODYMYR Zelenskyy (gambar kecil) menjangkakan perang Ukraine-Russia mungkin berlanjutan sehingga musim sejuk. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Perang Ukraine-Russia dijangka berlanjutan hingga musim sejuk ketika Kyiv dan Washington terus berusaha mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, perkara itu dilihat berkemungkinan berlaku selepas beliau mengadakan rundingan dengan wakil  ke­amanan Amerika Syarikat (AS), Jared Kushner dan Steve Witkoff, di Kyiv kelmarin.

“Kami sangat berharap dapat mencapai persetujuan dengan rakan kongsi kami di Amerika dan mengharapkan sokongan rakan kongsi Eropah sekiranya perang berlanjutan hingga musim sejuk dan itulah yang dilihat berlaku buat masa ini,” katanya.

Witkoff berkata, kedua-dua pihak perlu bersedia berkompromi bagi mencapai persetujuan untuk menamatkan perang.

Beliau berkata, rundingan itu berlangsung secara bermakna dan substantif tetapi tiada kejayaan besar diumumkan selepas pertemuan berkenaan.

“Kami berharap dapat meneruskan usaha ini selama mana yang diperlukan.

“Kami berharap lawatan ini menghasilkan beberapa pendekatan baharu untuk bergerak ke hadapan. Saya fikir kami ba­nyak belajar daripada lawatan ini,” katanya.

Musim sejuk di Ukraine bermula pada Disember dan ber­akhir Februari tahun depan.

Sementara itu, menurut Zelensky, rundingan lanjut bersama wakil Britain, Jerman dan Perancis masih berlangsung.

Terdahulu, beliau berkata satu lagi sesi rundingan akan diadakan bersama penasihat ke­selamatan negara Eropah.

“Kami menjangkakan satu sesi rundingan dan kemudian satu lagi sesi akan diadakan bersama NSA (penasihat keselamatan negara) Eropah,” katanya.

Zelensky turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran rakan kongsi Eropah dalam run­dingan berkenaan.

Sehari sebelum itu, Witkoff, yang merupakan sekutu perniagaan Presiden AS, Donald Trump dan Kushner yang merupakan menantu Trump, berkunjung ke Moscow pada Sabtu untuk bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan ke Kyiv menggunakan kereta api, seperti de­legasi lain, dengan tulisan ‘Peace Express’ dipaparkan di platform Stesen Kereta Api Utama Kyiv.

Zelensky berkata, semua sudah disediakan bagi memboleh­kan lapangan terbang Ukraine kembali beroperasi. Namun, serangan Russia menyebabkan pilihan itu tidak dapat dilaksanakan.

Putin dan Zelensky sebelum ini berjanji tidak akan melancarkan serangan ke atas Moscow dan Kyiv sepanjang tempoh utusan AS mengadakan rundingan.

Ruang udara Ukraine ditutup sejak 2022 selepas Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas negara itu. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×