WASHINGTON: Perang ke atas Iran mungkin berterusan selama bertahun-tahun, malah berpotensi berlanjutan sehingga baki tempoh pemerintahan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berakhir pada 20 Januari 2029
Masa yang lebih panjang itu diberikan oleh penasihat-penasihat kanan Rumah Putih, termasuk Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara Marco Rubio, kepada Trump berikutan konflik yang masih berlarutan di Asia Barat.
Perang itu dimulakan oleh AS bersama Israel yang menyerang Teheran pada 28 Februari selepas rundingan tentang nuklear gagal menemui jalan penyelesaian tetapi sehingga kini ia masih belum tamat walaupun sudah mula memasuki bulan ketujuh.
Tempoh masa yang panjang itu kemungkinan berlaku apabila Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth sudah melanjutkan penugasan sebahagian anggota tentera AS di Asia Barat hingga 2027, manakala Jabatan Pertahanan atau lebih dikenali sebagai Pentagon merancang untuk mengekalkan beberapa unit pertahanan udara di rantau itu tanpa menetapkan tarikh pengunduran.
Menurut laporan Wall Street Jorunal, Trump juga menyokong kempen tekanan ekonomi jangka panjang yang berteraskan sekatan laut dan sekatan ekonomi, bertujuan memaksa Teheran membongkar program nuklearnya eperti yang dituntut Washington.
Penilaian sulit secara tertutup itu amat berbeza dengan jaminan yang diberikan Trump bahawa perang Iran akan berakhir tidak lama lagi.
Pada Rabu, beliau memberitahu pemberita, perang itu akan berakhir ‘serta-merta’ selepas pilihan raya pertengahan penggal pada November, sambil mendakwa Iran tidak lagi mampu bertahan.
Bagaimanapun, Trump dilihat masih ‘berdegil’ kerana pada Khamis beliau berkata, Washington tidak menyerang Iran secara habis-habisan disebabkan AS akan mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.
Beliau dengan yakin meramalkan perang itu akan berakhir selepas pilihan raya itu atau mungkin lebih awal lagi.
Ketika ditanya dalam wawancara dengan Fox News mengenai gesaan supaya AS bertindak habis-habisan terhadap Iran, Trump merujuk kepada pilihan raya AS yang bakal berlangsung itu.
“Ya, mungkin saya tidak berbuat demikian kerana pilihan raya,” katanya dan mendakwa Iran semakin lemah dan kini berada dalam masalah besar.
Sebelum wawancara itu, Trump berkata: “Sejurus selepas pilihan raya, harga minyak akan menjunam. Iran terdesak untuk cuba mempengaruhi pilihan raya supaya kumpulan yang lemah di sana membiarkan mereka begitu sahaja.” Beliau turut mendakwa tidak menyesali perang itu selain mendakwa serangan AS berjaya melumpuhkan keupayaan nuklear Iran.
“Jika saya terpaksa melakukannya sekali lagi, saya akan melakukan perkara yang sama seperti yang saya lakukan,” kata Trump, dengan mendakwa Teheran akan menggunakan senjata nuklear terhadap Israel, rantau Asia Barat dan bandar-bandar AS.
Presiden AS itu turut menolak laporan Wall Street Journal yang mendakwa perang dengan Iran akan berlanjutan sehingga tamat tempoh pemerintahannya sebaliknya menegaskan, ia tidak akan mungkin berlaku.
Perang itu mengorbankan 18 anggota tentera AS dan mencederakan lebih 750 yang lain.
Konflik itu turut mengorbankan lebih 3,500 orang di Iran dan menyebabkan puluhan ribu penduduk tempatan cedera, menurut data yang diterbitkan Al Jazeera.
Ketegangan kembali memuncak apabila AS menyerang pelancar roket Iran pada hujung Ogos sebelum konflik meningkat kepada pertempuran melibatkan serangan ke atas kapal perang dan kapal tangki di Selat Hormuz.










