Kepulauan Falkland bakal jana RM21 bilion kerana minyak - Utusan Malaysia

Kepulauan Falkland bakal jana RM21 bilion kerana minyak

PEMANDANGAN udara Kepulauan Falkland. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Kepulauan Falkland milik Britain dijangka meraih hasil sehingga 4 bilion pound (RM21.86 bilion) daripada rizab minyak yang tersimpan di bawah Lautan Atlantik, ketika Argentina meningkatkan tuntutannya terhadap wilayah berkenaan.

Penemuan kira-kira 900 juta tong minyak dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) kepulauan itu mencetuskan usaha terbaharu Argentina untuk mendapatkan semula wilayah yang dikenali sebagai ‘Las Malvinas’ oleh negara itu.

Kepulauan Falkland terletak kira-kira 600 kilometer di timur hujung paling selatan Argentina dan ditadbir oleh Britain. Perang Falkland pada 1982 berakhir dengan penyerahan kerajaan Argentina selepas 74 hari konflik yang mengorbankan 649 rakyat Argentina dan 255 anggota tentera Britain.

Sementara itu, Presiden Argentina, Javier Milei me­negaskan beliau akan bertindak pantas untuk mendapatkan semula kepulauan berkenaan, yang didakwanya berdasarkan. Hasil cukai korporat dan royal­ti daripada medan minyak Sea Lion, yang dijangka mula mengeluarkan minyak pada 2028 akan mengubah ekonomi kepulauan berkenaan.

Projek itu berpotensi menjana pendapatan 4 bilion pound (RM21.86 bilion) sepanjang tempoh 35 tahun, bersamaan kira-kira 1 juta pound (RM5.46 juta) bagi setiap penduduk kepulauan itu. Medan minyak berkenaan enam kali lebih besar berbanding medan Rosebank di barat Kepulauan Shetland.

Kerajaan kepulauan itu turut berjanji untuk menanggung sebahagian kos keselamatan sendiri menggunakan hasil tersebut, sekali gus mengurangkan beban Britain yang membelanjakan 500 juta pound (RM2.7 bilion) setiap tahun untuk melindungi Wilayah Luar Negara itu.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) wilayah berkenaan dijangka meningkat tiga kali ganda, ratusan peluang pekerjaan akan diwujudkan.

Namun, buat masa ini Argentina tidak akan memperoleh sebarang hasil daripada projek itu, sekali gus mencetuskan kemarahan di Buenos Aires. Milei malah berkata, beliau tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

Medan Sea Lion, yang terletak 150 batu nautika di utara Port Stanley, ditemuikan pada 2010. Namun, beberapa projek untuk mengeluarkan minyak daripada medan itu sebelum ini gagal. 

Syarikat minyak utama turut tidak menggalakkan pelaburan dalam projek berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kerumitan geopolitik.

Projek itu terdedah kepada campur tangan Argentina, se­perti yang ditunjukkan pada Sabtu apabila harga saham syarikat Britain dan Israel yang menerajui projek itu jatuh susulan kenyataan Milei.

Kerajaan Argentina telah mengumumkan sekatan terhadap syarikat minyak Israel, Navitas Petroleum yang memiliki 65 peratus kepentingan dalam projek itu dan  syarikat penerokaan Britain, Rockhopper yang memegang 35 peratus kepentingan. Harga saham ke­dua-dua syarikat jatuh 10 peratus susulan tindakan tersebut.

Kerajaan Kepulauan Falkland, yang meluluskan aktiviti penerokaan pada 2024, akan menerima sembilan peratus hasil minyak selain cukai korporat sebanyak 26 peratus ke atas keuntungan.

Sebanyak 23 telaga akan dibina, sekali gus mewujudkan 200 peluang pekerjaan di laut dan di kepulauan berkenaan.  – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×