JAKARTA: Jumlah kos ekonomi dan kesihatan di Indonesia akibat kebakaran hutan dari Januari hingga Ogos boleh mencecah 123.1 trilion rupiah (RM28 bilion), menurut laporan badan pemikir yang berpangkalan di Jakarta, Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (CELIOS).
Bagaimanapun, anggaran itu belum mengambil kira senario sekiranya kebakaran terus merebak hingga akhir 2026.
Menurut CELIOS, jumlah kerugian ekonomi akibat kehilangan aset fizikal dan aktiviti ekonomi boleh mencecah hampir 30 trilion rupiah (RM6.8 bilion), atau 0.23 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Indonesia tahun lalu.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa kebakaran berkenaan juga boleh menyebabkan kehilangan potensi hasil cukai sebanyak 269.89 bilion rupiah (RM62 juta).
Menurut CELIOS, jumlah kos penjagaan kesihatan bagi mereka yang didiagnosis mengalami masalah kesihatan berkaitan kebakaran boleh mencecah 93.56 trilion rupiah (RM21 bilion) atau bersamaan 67.6 peratus daripada keseluruhan belanjawan sektor kesihatan nasional Indonesia dalam belanjawan negara 2026.
Pengarah Ekonominya, Nailul Huda berkata, angka berkenaan mencerminkan kemerosotan dalam beberapa sektor komersial.
“Anggaran kami bukan sekadar mengenai nilai kayu balak yang terbakar atau hasil hutan lain, sebaliknya gangguan lebih meluas terhadap aktiviti ekonomi masyarakat dan perdagangan,” kata Nailul kepada This Week in Asia.
Indonesia sering berdepan kebakaran hutan ketika musim kering, yang biasanya berlangsung dari Julai hingga Oktober.
Namun, kebakaran tahun ini amat teruk, sebahagiannya disebabkan fenomena El Nino yang kuat dan dijangka menjadi paling buruk sejak rekod seumpamanya mula dicatat empat dekad lalu.
Pakar turut menyalahkan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama beberapa dekad dan amalan pembukaan tanah secara tebang dan bakar yang telah mengubah landskap secara semula jadinya tahan terhadap kebakaran.
Dari Borneo, jerebu turut merebak ke negara jiran Singapura dan Malaysia.
Kerajaan Indonesia berkata, antara Januari hingga Julai, lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara. – AGENSI











