WASHINGTON: Pengasas bersama Microsoft dan bilionair teknologi, Bill Gates memberi amaran bahawa kecerdasan buatan (AI), berpotensi mengorbankan sehingga satu bilion manusia.
Dalam satu lagi wawancara menerusi program Meet the Press terbitan NBC pada Ahad, Gates turut memberi amaran bahawa AI boleh jatuh ke tangan pihak yang salah.
“Sememangnya ia (AI) cukup berkuasa untuk mencetuskan kejadian yang anda tahu, menyebabkan kematian satu bilion orang,” katanya.
Gates menggesa pengawasan kerajaan yang lebih ketat terhadap teknologi baharu itu, sambil memberi amaran bahawa ia berpotensi mengorbankan sehingga satu bilion nyawa.
Beliau turut mengemukakan beberapa langkah penyelesaian potensi ketika ditanya mengenai kaedah yang boleh membendung tragedi berpunca daripada AI.
Gates memberi amaran bahawa AI boleh menyukarkan proses membezakan antara saintis yang membangunkan ubat penyelamat nyawa dengan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mencipta senjata biologi.
Menurutnya, wujud kesukaran untuk membezakan niat baik seperti penciptaan ubat baharu berbanding niat jahat yang bertujuan menghasilkan peralatan senjata biologi.
Pengasas bersama Microsoft itu menegaskan bahawa risiko potensi tersebut menjadikan pengawasan ketat terhadap sistem AI canggih sebagai satu keperluan mendesak, sambil menggesa Amerika Syarikat (AS) memimpin langkah menetapkan kawalan keselamatan.
Disebabkan batasan antara niat baik dan jahat yang semakin kabur, pemantauan terhadap sebarang model canggih perlu dilaksanakan dengan merekodkan setiap tindakan yang dijalankan secara terperinci.
Gates berpendapat China mungkin akan melaksanakan langkah serupa tetapi beliau menekankan bahawa AS perlu merintis dan menetapkan piawaian jelas bagi industri berkenaan.
Pelaksanaan kawalan keselamatan dan pemantauan rapi disifatkan sebagai langkah praktikal yang tidak akan membendung kemajuan industri secara drastik, berbeza daripada perdebatan berhubung desakan melambatkan pembangunan AI itu sendiri. – AGENSI











