NEW DELHI: Pihak berkuasa di negeri Tamil Nadu, India memberikan sebentuk cincin emas secara percuma kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan pada Isnin, dalam satu inisiatif yang bertujuan meningkatkan keyakinan terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.
Menerusi skim yang dilancarkan Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, yang juga seorang pelakon, semua bayi yang dilahirkan di kemudahan kesihatan awam di negeri itu layak menerima sebentuk cincin emas seberat satu gram, bernilai kira-kira AS$143 (RM584).
Emas mempunyai kepentingan budaya yang besar di India, menjadi sebahagian penting dalam majlis perkahwinan dan upacara keagamaan, selain dianggap sebagai aset selamat untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Cincin emas itu akan memberikan sesuatu yang bernilai untuk disimpan oleh kanak-kanak berkenaan bagi tahun-tahun mendatang,” kata seorang ibu di sebuah hospital kerajaan di daerah Madurai, yang enggan mendedahkan namanya.
Beliau antara puluhan ibu yang mendukung bayi masing-masing ketika beratur untuk menerima hadiah berkenaan.
“Skim ini terasa begitu dekat dengan kami,” kata seorang lagi ibu yang berterima kasih, Stella Mary, kepada AFP.
Pegawai berkata, inisiatif itu bertujuan menonjolkan kepentingan penjagaan ibu dan bayi yang baharu lahir, selain mengukuhkan keyakinan terhadap institusi penjagaan kesihatan awam di negeri selatan itu yang mempunyai lebih 72 juta penduduk.
Ia turut memanfaatkan kecenderungan masyarakat India yang begitu menggemari emas.
Bagi ramai wanita, khususnya di kawasan luar bandar, barang kemas emas boleh menjadi bentuk jaminan kewangan peribadi.
India merupakan antara pengguna emas terbesar dunia.
Menurut World Gold Council, permintaan emas di negara itu mencecah AS$25 bilion (RM102 bilion) pada suku pertama tahun ini.
Menurut data rasmi terkini, India merekodkan 24 kematian bayi bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, manakala kadar kematian ibu ialah 88 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. – AFP











