MOSCOW: Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov mendakwa Barat sedang membuat persiapan untuk berperang dengan Moscow dengan menggunakan alasan konon negara itu menjadi ancaman kepada Eropah.
Beliau berkata, Russia bersedia menghadapi sebarang cabaran luar yang boleh mengancam keselamatan negaranya.
“Golongan pemerintah dan elit di kebanyakan negara Barat kini menyebarkan mitos mengenai ancaman dari Russia, selain aktif membuat persiapan untuk berperang dengan negara kita,” katanya ketika berucap pada pembukaan Kongres Keempat Gerakan Russophile Antarabangsa di Moscow, kelmarin.
Beliau turut mendakwa Russia dipersalahkan oleh negara Barat kerana kononnya menjejaskan nilai-nilai Eropah.
Lavrov turut membandingkan pendekatan pegawai Amerika Syarikat (AS) dengan pemimpin Eropah, dengan menyifatkan Washington bersedia mengekalkan dialog walaupun kedua-dua pihak mempunyai pendirian yang amat berbeza.
“Terdapat perbezaan penting antara golongan elit AS dan Eropah ialah mereka bersedia untuk berunding. Walaupun pendirian kedua-dua pihak bertentangan secara radikal, dialog tetap penting,” katanya.
Lavrov berkata, Moscow terbuka untuk mengadakan perbincangan serius dengan pegawai yang bersedia berunding, sambil menegaskan pegawai asing tidak perlu berkunjung ke Russia sekadar mengulangi kritikan secara terbuka terhadap negara itu.
“Untuk mengutuk Russia, mereka tidak perlu datang ke sini. Namun, kami sentiasa terbuka untuk perbincangan serius,” katanya, sambil menegaskan pendekatan itu turut diamalkan AS dalam hubungannya dengan Russia. – AGENSI











