LONDON: United Kingdom (UK) mengumumkan pelaburan bernilai 8.4 bilion pound (RM45.7 bilion) bagi fasa seterusnya program kapal selam nuklear Kelas Dreadnought, yang menurut kerajaan akan menyokong 22,000 peluang perantisan dalam tempoh sedekad akan datang.
Pejabat Perdana Menteri, Andy Burnham berkata, pelaburan itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh sistem pencegahan nuklear Britain, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Pelaburan besar bernilai 8.4 bilion pound dalam sistem pencegahan nuklear Britain, yang akan menyediakan pekerjaan dan peluang kepada golongan muda untuk tahun-tahun akan datang,” kata pejabat Burnham dalam kenyataan media kelmarin.
Kontraktor pertahanan Britain, BAE Systems diberi tanggungjawab membina empat kapal selam berkuasa nuklear Kelas Dreadnought sebagai sebahagian daripada sistem pencegahan nuklear negara itu.
Daripada jumlah pelaburan itu, BAE Systems akan menerima 9.5 bilion pound (RM32 bilion), manakala baki peruntukan akan disalurkan kepada rangkaian pembekal berkaitan.
Pelaburan itu akan membantu kapal selam pertama program berkenaan, HMS Dreadnought melengkapkan ujian laut sebelum dijangka memasuki perkhidmatan Tentera Laut Diraja Britain pada awal 2030-an.
Ia turut membolehkan kapal selam kedua, HMS Valiant, memasuki fasa ujian laut. Sementara itu, kapal ketiga dan keempat meneruskan proses pembinaan.
Menurut Burnham, program itu akan menyokong 47,000 peluang pekerjaan dan perantisan, selaras dengan usaha pentadbirannya yang masih baharu untuk menangani peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan golongan muda.
“Kapal selam ini akan melindungi Britain untuk beberapa dekad akan datang, manakala 47,000 pekerjaan dan peluang perantisan akan mengubah kehidupan penduduk di bandar serta puluhan kawasan lain yang seumpamanya,” kata Burnham.
– AGENSI










