TEHERAN: Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran memberi amaran sebarang tindakan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan laut terhadap negara itu akan dianggap sebagai perluasan perang di rantau ini.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Fars, markas tentera itu menuduh Washington mengancam kapal Iran, kapal dagang dan kapal tangki minyak yang berada di perairan pantai serta wilayah Iran beberapa hari lalu.
“Tindakan AS ini akan dianggap sebagai perluasan perang di rantau ini. Seperti yang telah dibuktikan oleh angkatan tentera Republik Islam Iran di medan perang, mereka tidak akan membiarkan sebarang ancaman atau tindakan bermusuhan oleh tentera pengganas negara itu tanpa tindak balas dan akan menentangnya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Sabtu memaklumkan sekatan laut yang dikenakan terhadap Iran masih berkuat kuasa sepenuhnya.
Menurut CENTCOM, tentera AS mengarahkan 17 kapal dagang yang cuba melanggar sekatan itu supaya berpatah balik, melumpuhkan dua kapal yang ingkar arahan. Anggota-anggotanya turut menaiki dua lagi kapal bagi mengesahkan pematuhan terhadap sekatan tersebut.
Presiden AS, Donald Trump pada Isnin berkata, terdapat peluang yang baik untuk mencapai perjanjian dengan Iran. Namun, beliau memberi amaran Washington akan menyambung semula operasi ketenteraan sekiranya rundingan untuk menamatkan perang gagal menghasilkan keputusan.
“Mereka mahu bertemu dan kami sedang mengadakan pertemuan. Kita akan lihat apa yang berlaku, ada peluang untuk kita mencapai perjanjian. Tanpa apa yang kami lakukan, mereka langsung tidak akan bercakap dengan kami.
“Kami sedang berbincang dengan Iran sekarang. Rundingan berjalan dengan baik, jadi kita akan lihat apa yang berlaku. Jika tidak, kami akan kembali melakukan apa yang kami lakukan dua hari lalu.
“Mereka tidak akan meminta pertemuan jika kami berada dalam kedudukan yang lemah. Satu-satunya sebab mereka mahu bertemu ialah kerana kami telah menyerang mereka dengan sangat kuat,” kata Trump.
AS melancarkan beberapa siri serangan ke atas Iran sejak dua minggu lalu sebagai tindak balas terhadap dakwaan Teheran menyerang kapal dagang di Selat Hormuz.
Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan kemudahan dan pangkalan yang didakwa digunakan tentera AS di beberapa negara Teluk. Ia mengorbankan sekurang-kurangnya tiga anggota tentera di sebuah pangkalan di Jordan dan seorang lagi di Iraq. Bagaimanapun, pertukaran serangan itu dilaporkan terhenti sejak Sabtu lalu.
Pegawai Asia Barat memberitahu Associated Press (AP) pada Isnin, pengantara yang diketuai Qatar dan Pakistan terus berusaha merapatkan jurang pendapat antara Washington dan Teheran.
Bagaimanapun, Iran memperkecilkan laporan mengenai rundingan itu, manakala serangan dron yang dikaitkan dengan Teheran terhadap Arab Saudi, Jordan dan Iraq menunjukkan situasi keamanan masih rapuh.
Ia sekali gus memberi gambaran Iran dan kumpulan bersenjata yang disokongnya di rantau itu, sedang menguji pendekatan baharu Washington.
Jurucakap Kementerian Luar Iran pula menegaskan Teheran tidak pernah meminta rundingan damai disambung semula, selain menjelaskan pengantara mungkin menyampaikan mesej dari pihak AS kepada mereka. Namun, tiada rundingan secara langsung sedang berlangsung.
Perang Iran sudah berlanjutan lima bulan dan bermula apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.– AGENSI










