GAZA CITY: Serangan udara tentera Israel membedil sebuah balai polis di utara Gaza, mengorbankan lapan individu termasuk seorang pegawai polis wanita.
Hospital Al-Shifa di Gaza City yang terletak di utara wilayah Palestin itu mengesahkan kepada agensi berita AFP pihaknya menerima lapan mayat mangsa berkenaan.
“Lapan jenazah syuhada dipindahkan ke Hospital Al-Shifa susulan serangan udara Israel ke atas sebuah balai polis di bahagian barat kem pelarian Jabalia di utara Gaza,” menurut agensi pertahanan Gaza yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas.
Dalam satu kenyataan yang mengutuk keras serangan udara tersebut, Hamas yang mengawal pasukan polis Gaza menyatakan ketua balai polis terbabit adalah antara yang terkorban dalam insiden berkenaan.
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada petang Selasa, pihak tentera Israel mengesahkan merekamembunuh empat pejuang Hamas dalam serangan tersebut.
“Sejak kebelakangan ini, kumpulan terbabit berkumpul dengan matlamat untuk merancang dan melancarkan serangan pengganas. Mereka telah dihapuskan demi menghapuskan ancaman berkenaan,” jelas pihak tentera Israel tanpa memperincikan identiti baki empat individu lagi yang turut terkorban.
Keganasan dilaporkan terus bergolak di Gaza meskipun perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan dan Hamas berundur daripada pentadbirannya.
Menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu dan datanya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1,110 rakyat Palestin terkorban sejak gencatan senjata berkenaan bermula.
Bagi tempoh yang sama, pihak tentera Israel pula menyatakan mereka kehilangan lima anggota tentera di Gaza, selain seorang kontraktor awam yang turut terkorban. -AFP










